Cyberjaya, 4 September 2020 – Virtual Global Accelerator Programme (GAP) Kohort 4 telah dilancarkan oleh YBhg. Dato’ Parang Abai @ Thomas, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan) MOSTI yang mewakili YBhg. Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Binti Tapsir, Ketua Setiausaha MOSTI bertempat di MaGIC Cyberjaya pada pagi ini.
Program ini akan berlangsung selama 3 bulan bertujuan untuk melengkapkan syarikat permulaan tempatan dan global yang berminat untuk berkembang di Asia Tenggara dengan kemahiran, sokongan dan rangkaian yang diperlukan agar dapat bertahan dan bersedia untuk perkembangan di Asia Tenggara.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Puan Dzuleira Abu Bakar yang telah menyampaikan ucapan aluan serta pengumuman rakan pelabur GAP; dan juga Dr. Yeong Che Fai, Pengarah DF Automation yang telah menyampaikan ucapan Alumni GAP. Sebanyak 40 syarikat start-up dari Malaysia dan antarabangsa telah terpilih untuk menyertai Virtual Global Accelerator Programme pada tahun ini. Program ini juga buat julung kalinya diadakan secara maya bagi memastikan kesihatan dan keselamatan peserta berikutan penularan wabak COVID-19. Virtual Global Accelerator Programme akan bermula pada 4 September 2020 dan bakal berakhir pada 1 Disember 2020.