Skip to main content
News

Kembara STIE MOSTI – Membawa Sains, Teknologi Dan Inovasi Kepada Rakyat

Negeri Sembilan, 5 September 2020 – Kembara STIE yang menghimpunkan program-program utama MOSTI hari ini diadakan buat pertama kalinya di UiTM Rembau. Kembara STIE merupakan program jelajah MOSTI ke seluruh Malaysia yang akan menyediakan platform bersepadu kepada syarikat swasta, institusi awam, pakar teknologi, saintis, penyelidik, ahli akademik, pelajar universiti serta agensi-agensi di bawah MOSTI untuk berkerjasama dan meraikan STI.
Hari ini juga diadakan Majlis Perasmian Minggu Sains Negara (MSN) Peringkat Negeri Sembilan oleh YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. MSN 2020 yang telah memasuki tahun ke-3 pelaksanaan MSN di seluruh Malaysia bertujuan memartabatkan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) tempatan dalam menyokong perjalanan dan visi negara ke arah kemajuan teknologi. Objektif utama penganjuran MSN 2020 adalah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat Malaysia terhadap kepentingan STI dalam kehidupan seharian.
YB Khairy dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa STI memainkan peranan yang penting dalam usaha Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju. Untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, Malaysia perlu menjadi negara berteknologi tinggi. Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia juga menjadi pemangkin kepada sains, teknologi dan inovasi untuk berkembang lebih pesat terutamanya dalam bidang-bidang yang berkaitan kesihatan awam.
Kembara STIE ini akan memberi pendedahan STI kepada masyarakat melalui pelbagai pengalaman pembelajaran yang interaktif dan imersif melalui showcase, bengkel, forum, pertandingan, persembahan dan banyak lagi.