17 Julai 2024, Kuala Lumpur – YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri hari ini merasmikan National Bioeconomy Showcase (NBiOSHOWCASE) 2024 yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Bioeconomy Corporation sebagai penganjur utama.
Persidangan dan pameran NBiOSHOWCASE 2024 yang bertemakan “Bioekonomi untuk Semua” merupakan platform untuk mencapai objektif Dasar Bioteknologi Negara 2.0 bagi memajukan sektor bioteknologi dan berasaskan bio sebagai pemacu utama ekonomi negara ke arah mewujudkan masyarakat bio-inovasi menjelang tahun 2030.
Dalam ucapan perasmiannya, YAB Perdana Menteri menekankan mengenai kepentingan melipatgandakan lagi inisiatif bagi menarik minat pelajar kepada Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) yang semakin berkurangan.
YAB Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyaj RM2 juta bagi program Bio-based Accelerator (BBA) untuk menggalakkan perkembangan syarikat-syarikat tempatan dalam industri bioteknologi.
Di NBiOSHOWCASE 2024 ini juga, ALPS Global Holding Berhad (ALPS), kumpulan syarikat bioteknologi bersepadu yang diberikan fasilitasi oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) telah diumumkan sebagai syarikat bioteknologi Malaysia pertama yang mencapai status unicorn di negara ini.
Pencapaian ini memenuhi salah satu matlamat utama di bawah Dasar Bioteknologi Negara 2.0 yang menyasarkan penciptaan tiga syarikat bio-inovasi dengan status unicorn menjelang tahun 2030. ALPS dijangka akan disenaraikan di Nasdaq pada suku keempat tahun 2024 dengan nilai perusahaan kira-kira AS$1.6 bilion, lalu membawa nama Malaysia ke persada dunia dan membuktikan keupayaan negara dalam menghasilkan syarikat berteknologi tinggi yang mampu bersaing di peringkat global.
Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama MOSTI dan Bioeconomy Corporation yang telah memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan syarikat bioteknologi tempatan dan perkembangan pelaburan asing berkaitan bioteknologi di Malaysia. Ini termasuk pelaburan daripada Biocon, syarikat gergasi bioteknologi dari India yang telah memberi komitmen untuk beroperasi di Malaysia sejak tahun 2011 dengan jumlah pelaburan hampir RM3 bilion.
Melalui fasilitasi daripada Bioeconomy Corporation, Biocon telah memberi komitmen untuk mengembangkan kemudahan pembuatan insulin baharu mereka yang dijangka akan beroperasi pada tahun 2026 lalu mewujudkan lebih daripada 1,100 pekerja berkemahiran tinggi dan menjadikannya sebagai salah satu pusat penyelidikan dan pembuatan insulin bersepadu terbesar di dunia di samping meningkatkan akses produk-produk insulin bagi pesakit di Malaysia.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Chang Lih Kang menyatakan bahawa kerjasama yang dijalin di NBiOSHOWCASE 2024, termasuk pertukaran 11 memorandum persefaham dengan nilai anggaran RM1.5 bilion antara penggerak industri bioteknologi, jelas menunjukkan perkembangan industri bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia yang semakin matang dan berdaya saing di peringkat global.
“Melalui sokongan MOSTI, lebih daripada 520 syarikat bioteknologi dan berasaskan bio telah diberikan fasilitasi oleh Bioeconomy Corporation, termasuk syarikat berstatus BioNexus, syarikat di bawah program Bio-based Accelerator (BBA), serta syarikat yang terlibat dalam projek-projek bioteknologi berimpak tinggi di Malaysia. Secara kumulatif, semua syarikat ini telah merekodkan pencapaian yang amat memberangsangkan dengan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM14.3 bilion dan menyumbang kepada pendapatan KDNK negara sebanyak RM37.5 bilion,” kata beliau.
NBiOSHOWCASE 2024 melibatkan hampir 140 reruai dengan lebih daripada 110 pempamer dan dijangka akan dihadiri 4,000 orang pelawat. Lebih daripada 50 program dan aktiviti dijalankan di acara itu termasuk forum khas dan sesi perkongsian oleh pakar-pakar industri, peluang dana dan pekerjaan, pelancaran produk, pertukaran MoU, pameran syarikat berstatus BioNexus dan BBA, penjualan produk, rangkaian perniagaan, demonstrasi makmal, aktiviti untuk pelajar sekolah, saringan kesihatan, usaha kelestarian melalui Tanggungjawab Sosial Korporat, serta kuiz dan permainan.
Untuk maklumat lanjut, sila layari https://linktr.ee/NBiOSHOWCASE2024 atau hubungi nbioshowcase2024@bioeconomycorporation.my.