17 Ogos 2024, Kuala Lumpur – 38 buah makmal telah dianugerahkan dengan status BioNexus Partners Laboratories (BNP Labs) ke arah memperkasakan keusahawanan dan keupayaan inovasi dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia.
BNP Labs merupakan salah satu program di bawah Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) yang menyokong keperluan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R,D,C&I) negara serta merapatkan jurang antara pemain industri dengan komuniti R&D.
BNP Labs juga dilihat sebagai platform yang menyokong penjanaan pendapatan oleh syarikat-syarikat bioteknologi termasuk syarikat berstatus BioNexus, syarikat Bio-based Accelerator (BBA) dan projek berimpak tinggi, yang setakat ini telah menyumbang pendapatan sebanyak RM37.5 bilion kepada KDNK Malaysia.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal berkata BNP Labs berupaya untuk menangani cabaran-cabaran R,D,C&I di Malaysia, di mana 66 peratus projek R,D,C&I masih bergantung kepada peruntukan kerajaan. Beliau berkata kepakaran, fasiliti, alatan, latihan, akreditasi, dan perkhidmatan teknikal R,D,C&I yang ditawarkan oleh BNP Labs menjadikan usahawan dan syarikat PKS bioteknologi dan berasaskan bio lebih berdaya saing dan inovatif melalui bimbingan penyelidikan produk baharu, penambahbaikan produk sedia ada, serta analisis dan pengkomersialan produk.
“Sebanyak 147 produk telah ditambah nilai melalui Program Pembangunan Produk (PDP) yang dilaksanakan oleh Bioeconomy Corporation dengan kerjasama makmal-makmal BNP dari tahun 2020 hingga 2023. Di bawah program ini, pelbagai produk R&D oleh usahawan bioteknologi dan berasaskan bio menjalani peningkatan dan reformulasi, seterusnya berjaya dikomersialkan serta menembusi pasaran tempatan dan global. BNP Labs menyumbang kepada pengeluaran produk baharu bernilai tinggi yang mendorong pendapatan tambahan syarikat, lalu menyokong matlamat mencapai 5 peratus KDNK negara di bawah Dasar Bioteknologi Negara 2.0,” kata beliau semasa perasmian Majlis Penyerahan Sijil BNP Labs di National Bioeconomy Showcase 2024 (NBiOSHOWCASE 2024) pada hari ini.