8 Ogos 2024, Pahang – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini menganjurkan Majlis Perasmian Penutup Malaysia Techlympics 2024 peringkat Zon Timur bertempat di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Kampus Gambang. Majlis hari ini telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Mohamad Nizar bin Dato’ Sri Mohamad Najib, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang wakil rasmi YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang.
Hampir 1,000 orang peserta dari tiga (3) negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan telah berkumpul pada 7 dan 8 Ogos 2024 di sini untuk bersaing di Peringkat Zon Timur ini bagi melayakkan diri ke Peringkat Akhir Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada bulan November 2024 di Putrajaya.
Malaysia Techlympics merupakan inisiatif MOSTI dalam usaha memupuk minat generasi muda terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan pertandingan yang lebih menyeronokkan, membudayakan belia dengan minda kritikal, set kemahiran dan inovasi yang lebih bermakna serta berimpak tinggi. Ini adalah tahun ketiga pelaksanaan program ini setelah dilancarkan pada tahun 2022.
Pelbagai pertandingan yang berteraskan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI),
internet kebendaan (IoT), dron, pengkodan dan robotik yang dipertandingkan di peringkat negeri dan zon. Malaysia Techlympics 2024 menyasarkan penyertaan seramai 1 juta penyertaan daripada seluruh negara.
Dalam ucapan oleh YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri, Sains, Teknologi & Inovasi, matlamat dan objektif utama penganjuran Malaysia Techlympics adalah pembudayaan STI kepada kumpulan sasar melalui pendekatan hands-on dan tidak formal serta melalui kaedah pembelajaran eksperimental (experiential learning) dan pertandingan melibatkan pelajar dan belia di semua peringkat umur, jantina dan bangsa.
Dalam majlis yang sama, MOSTI turut melancarkan inisiatif baharu MOSTI iaitu Program Rehlah Sains yang mana merupakan program mini karnival Minggu Sains Negara yang akan dilaksanakan menyasarkan golongan pelajar di sekolah tahfiz di negeri Pantai Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Program yang bakal diadakan pada bulan Oktober dan November ini akan melibatkan 7 buah sekolah tahfiz. Program ini juga merupakan inisiatif MOSTI dalam usaha memberikan pendedahan STI kepada pelajar tahfiz, memupuk minat mereka terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan melahirkan pelajar berfikiran kreatif dan berinovasi.
MOSTI komited untuk menggembleng tenaga dan usaha bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam membudayakan STI melalui program-program pembudayaan STI di luar bilik darjah yang berterusan kepada golongan sasaran yang terlibat khususnya kanak-kanak dan pelajar di peringkat bangku sekolah melalui program Malaysia Techlympics dalam memperkasakan agenda STEM Negara. Untuk maklumat lanjut mengenai Malaysia Techlympics dijemput untuk melayari laman web rasmi www.mytechlympics.com.