Skip to main content
News

Majlis Perasmian Penutupan Program Pembudayaan STI Bersepadu MOSTI Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 2026

16 November 2026, Serdang – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Program Pembudayaan STI Bersepadu Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 2026 yang menghimpunkan dua inisiatif utama kementerian iaitu Malaysia Techlympics Peringkat Akhir Kebangsaan dan Minggu Sains Negara (MSN) Finale 2026 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).
Dalam ucapannya, YB Menteri menegaskan bahawa Malaysia perlu melakukan anjakan daripada sebuah negara pengguna teknologi kepada negara yang mampu mencipta, membangunkan dan menerajui teknologi sendiri. Justeru, pembangunan bakat STEM dan pembudayaan STI perlu terus diperkasa sebagai pelaburan strategik bagi merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
Penganjuran secara bersepadu ini mencerminkan komitmen berterusan MOSTI dalam memperkukuh pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI), memperkasa bakat generasi muda serta membina ekosistem STEM negara yang lebih inklusif, dinamik dan berdaya saing.
Antara pencapaian membanggakan yang direkodkan pada tahun ini ialah:
🔹 Minggu Sains Negara 2026 berjaya menarik seramai 91,273 pengunjung secara keseluruhan.
🔹 Malaysia Techlympics 2026 mencatatkan lebih 3.19 juta penyertaan di seluruh negara, meningkat berbanding 1.8 juta penyertaan pada tahun sebelumnya.
🔹 Anugerah Saintis Muda Negara 2026 turut mengiktiraf lima orang saintis muda negara berumur di bawah 40 tahun atas kecemerlangan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta sumbangan terhadap kemajuan STI negara.
Program turut dimeriahkan dengan pelbagai program satelit dan pengisian berteraskan STEM yang dilaksanakan bersama agensi MOSTI dan rakan strategik, sekali gus mewujudkan platform perkongsian ilmu, penerokaan teknologi, kreativiti dan inovasi yang lebih menyeluruh. Pembudayaan STI bukan sekadar usaha memperkenalkan sains dan teknologi, tetapi gerakan membina pemikiran saintifik, mencetus kreativiti dan melahirkan generasi pencipta teknologi masa hadapan.
Turut hadir, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha MOSTI, Timbalan- timbalan Ketua Setiausaha MOSTI, ketua-ketua jabatan dan agensi, rakan strategik, wakil institusi pendidikan serta pihak-pihak berkepentingan.
Skip to content