17 April 2026, Putrajaya – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan MOSTI yang bertemakan “Keseronokan Bekerja”. Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha MOSTI serta barisan pengurusan tertinggi kementerian.
Dalam ucapannya, YB Menteri menekankan kepentingan amalan berhemat, pengoptimuman sumber serta perancangan program yang teliti bagi memastikan setiap perbelanjaan kementerian memberi impak tinggi dan menepati prinsip value for money, selaras dengan cabaran ketidaktentuan geopolitik semasa.
Beliau turut menyentuh peranan Kecerdasan Buatan (AI) sebagai pemacu utama transformasi ekonomi negara melalui inisiatif strategik seperti Dana Pemacu 2.0, selain penekanan kepada penyelarasan Program MYSTI dalam mengukuhkan perolehan produk inovasi tempatan oleh agensi kerajaan.
MOSTI juga turut berkongsi pencapaian suku pertama tahun ini melalui penyertaan Malaysia ke dalam Institut Vaksin Antarabangsa (IVI), satu langkah penting ke arah memacu kemandirian vaksin negara melalui pemindahan teknologi dan penyelidikan global.
YB Menteri juga mengingatkan warga MOSTI untuk mengekalkan integriti, memupuk kerja berpasukan serta membina suasana kerja yang positif dan menyeronokkan, sebagai asas kepada kecemerlangan penyampaian dasar dan prestasi organisasi.
Majlis juga menyaksikan pelancaran E-Board MOSTI, sebuah One Stop Centre yang mengintegrasikan maklumat strategik Lembaga Pengarah agensi di bawah MOSTI. Sijil penghargaan turut disampaikan kepada pasukan yang membangunkan inovasi tersebut.
Turut diadakan ialah sesi penghargaan pertukaran pegawai, kenaikan pangkat serta meraikan sambutan hari lahir warga MOSTI bagi bulan Mac dan April. Majlis diakhiri dengan aktiviti Radio Taiso sebagai simbol semangat “Keseronokan Bekerja”.




