9 November 2023, Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui MRANTI melancarkan Makmal Alami Kenderaan Berautonomi MRANTI (MRANTI AV VL) di Taman MRANTI yang merupakan makmal AV terbesar di negara.
MRANTI AV XL merupakan sebuah pusat kecemerlangan kenderaan berautonomi (AV) dan Next-Generation Vehicles (NxGVs) dengan tujuan memacu pembangunan, pengujian dan pengkomersialan inovasi teknologi kenderaan berautonomi. Konsep makmal ini adalah berasaskan hasil perbincangan bersama pihak industri, agensi kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan yang cenderung kepada reka bentuk berpaksikan manusia bagi penciptaan bersama.
“Usaha ini menyokong kepada Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) yang merangkumi objektif seperti pewujudan tempat ujian AV dan mempromosikan NxGVs. Selain itu, ia juga merupakan inisiatif yang dapat meningkatkan kecekapan dan pengurangan gas karbon pada masa hadapan. MRANTI AV XL merupakan tempat pengujian dan pengesahan teknologi AV yang paling besar di negara ini” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih Kang.
MRANTI AV XL merangkumi laluan ujian sepanjang 12 km disambung dengan tempat letak kereta bertingkat tertutup, kembar digital (penggabungan ujian maya dan penggunaan fizikal), liputan rangkaian 5G dan infrastruktur untuk AV berkomunikasi dengan pantas. Usaha juga sedang dijalankan untuk MRANTI menawarkan AV simulator dengan MRANTI selaku AV-as-a-Service Certification yang bertujuan untuk menjadi pusat rujukan national bagi penggunaan dan pengaplikasian AV di jalan raya Malaysia tertakluk kepada kelulusan pihak berkepentingan yang berkaitan.
“Visi utama MRANTI AV XL adalah menyediakan satu pusat sehenti kepada para inovator, korporat, penyelidik dan syarikat dalam bidang AV untuk meneroka, menguji, mengesahkan dan mengembangkan penyelesaian teknologi AV dalam persekitaran terkawal dan sebenar dengan pantas. MRANTI AV XL mampu menarik semua pemain utama dalam ekosistem AV dengan menyediakan satu platform untuk mempercepatkan perkembangan industri dan mendorong pergerakan industri mobiliti di Malaysia dan rantau ini,” ujar Chang Lih Kang.
Bersempena pelancaran MRANTI AV XL, lapan projek penyelidikan AV telah diumumkan bersama rakan strategik MRANTI – Universiti Nottingham Malaysia, NanoMalaysia dan Institut Penyelidikan Tenaga di Universiti Teknologi Nanyang Singapura yang menguruskan Pusat Kecemerlangan Pengujian dan Penyelidikan AV (CETRAN).
MRANTI bekerjasama rapat dengan rakan industri seperti Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Malaysia Automotive, Robotics & IoT Institute (MARii) dan Futurise serta pihak penguatkuasaan lain dan agensi kerajaan yang berkaitan dalam menggerakkan industri mobiliti ke hadapan.