19 Mei 2026, Kuala Lumpur – YB Dato’ Dr Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah menghadiri Malam Budaya Cipta sempena Pameran Antarabangsa Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi (ITEX) Kali Ke-37 Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Malam Budaya Cipta merupakan acara khas bagi meraikan para pemenang dan penerima anugerah dalam ITEX 2026 sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan idea, kreativiti serta inovasi yang berpotensi memberikan impak kepada pembangunan negara dan masyarakat global.
Sebagai platform inovasi bertaraf antarabangsa, ITEX terus berkembang sebagai medan strategik yang menghimpunkan para pencipta, ahli akademik, penyelidik, pelajar, syarikat pemula (startup) serta institusi dari Malaysia dan pelbagai negara lain untuk mempersembahkan hasil ciptaan, teknologi dan penyelesaian inovatif ke arah pengkomersialan serta pembangunan industri masa hadapan.
MOSTI melihat ITEX bukan sekadar platform pameran inovasi tetapi sebagai jambatan penting yang menghubungkan penyelidikan dengan industri, penciptaan dengan pelaburan serta inovasi dengan akses pasaran. Seiring dengan aspirasi negara, MOSTI komited untuk memperkukuh ekosistem inovasi melalui sokongan pembiayaan, fasilitasi harta intelek, pembangunan syarikat pemula (startup) serta pengukuhan kerjasama strategik di peringkat nasional dan antarabangsa.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur, rakan strategik, panel juri, penaja serta semua pihak yang telah menjayakan ITEX 2026. Tahniah kepada pemenang dan penerima anugerah. Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk terus mengangkat idea dan inovasi tempatan ke persada global.




