Skip to main content
News

Malaysia Terajui ASEAN kea rah Perkhidmatan Awam Berdaya Masa Hadapan

07 Oktober 2025, Kuala Lumpur – YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menghadiri ASEAN Conference on Future-Ready Public Service yang dirasmikan oleh oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya.

Turut hadir, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Ketua-Ketua Perkhidmatan Awam dari Negara-Negara Anggota ASEAN termasuk Timor Leste.
Bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan,” persidangan ini menghimpunkan pemimpin-pemimpin dan pegawai kanan ASEAN bagi merangka visi bersama ke arah perkhidmatan awam yang digital, berpaksikan rakyat dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
Kemuncak persidangan ini adalah penerimaan ASEAN Declaration on Future Ready Public Service, yang menandakan satu detik bersejarah dalam Kerjasama serantau. Deklarasi ini menggariskan komitmen bersama ASEAN untuk memperkukuh daya tahan dan inovasi institusi awam, meningkatkan profesionalisme dan kecekapan, mempercepatkan transformasi digital melalui penerapan teknologi termaju termasuk Kecerdasan Buatan (AI), serta mempromosikan tadbir urus yang inklusif dan beretika berasaskan ketelusan dan akauntabiliti.
Ia turut memperkukuh aspirasi bersama untuk menegakkan solidarity ASEAN melalui perkhidmatan awam yang berpaksikan rakyat, sebagai pemangkin kestabilan dan kemakmuran serantau yang berpanjangan.
Selaras dengan nilai-nilai Malaysia MADANI dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, deklarasi ini mencerminkan tekad baharu Negara-Negara Anggota ASEAN untuk mewujudkan ekosistem perkhidmatan awam yang responsif, berpandangan jauh dan mampan demi manfaat rakyat di seluruh rantau ini.
Persidangan sehari ini turut menampilkan sesi perbincangan berfokuskan tiga teras utama iaitu kepimpinan, teknologi dan pembangunan modal insan sebagai tonggak kesiapsiagaan masa depan. Melalui penganjuran ini,
Malaysia sekali lagi membuktikan kepimpinan teguhnya dalam membentuk masa depan transformasi sektor awam ASEAN. Perkhidmatan awam yang berkesan bukan sekadar mekanisme pentadbiran, tetapi merupakan asas kemajuan negara dan jambatan penyatuan serantau ke arah kerjasama, kemajuan dan kemampanan yang berterusan.
Skip to content