Skip to main content
News

Malaysia Tuan Rumah Bagi Dialog Kelima EU-Asia Nanosafety 2022 Dan Sidang Kemuncak Ke-19 Forum Asia Nano 2022

18 Julai 2022, Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC) dan NanoMalaysia Berhad, dengan kerjasama Asia Nano Forum (ANF) menganjurkan Dialog Kelima EU-Asia NanoSafety 2022 dan Sidang Kemuncak ke-19 Forum Asia Nano 2022 bermula pada 18 hingga 19 Julai 2022.

Sesi Dialog kelima EU-Asia NanoSafety 2022 ini diadakan secara hibrid pada 18 Julai 2022 dengan penyertaan dari 15 buah negara termasuk Malaysia yang diwakili oleh NNC. Objektif penganjurannya adalah untuk meningkatkan pertukaran dan persefahaman antara penggubal dasar, penyelidik dan pertubuhan bukan kerajaan dari Eropah dan Asia mengenai kepentingan keselamatan nano.

Sejak enam tahun lalu, dialog ini telah membina sinergi antara negara Asia dan Eropah dalam menetapkan garis panduan ujian standard yang boleh digunakan sebagai dokumen rujukan di kalangan negara Asia dan Eropah. Ini adalah penting dalam memastikan pembangunan dan keselamatan bahan nano di pasaran serta menyokong pertumbuhan industri nanoteknologi di kedua-dua benua.

Manakala Sidang Kemuncak Asia Nano Forum yang diadakan pada 19 Julai 2022 pula melibatkan Bengkel Pengkomersialan ANF dan Mesyuarat Agung Tahunan Ahli Jawatankuasa Eksekutif ANF. Untuk makluman, ANF ialah rangkaian persatuan nanoteknologi yang terdiri daripada 23 organisasi dari 17 negara di rantau Asia Pasifik.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba berkata seperti mana kemajuan baharu yang lain dalam sains dan teknologi, keupayaan untuk memanipulasi dan menghasilkan bahan pada tahap skala nano membawa pelbagai kebimbangan kepada masyarakat. Keselamatan bahan nano dan kemungkinan kesannya terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar adalah cabaran yang mesti kita tangani bersama melalui sains.

Semasa Majlis Makan Malam Gala tersebut, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba turut menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara NanoVerify Sdn. Bhd. (NVSB) yang merupakan anak syarikat NanoMalaysia Berhad dengan P.T Nanotech Indonesia Global T.B.K mengenai program pensijilan nanoteknologi.

Menerusi MoU ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama meneroka peluang nanoteknologi antara Malaysia dan Indonesia selain mendapat manfaat menerusi badan pensijilan antarabangsa dan pensijilan terus produk nano baharu di Indonesia melalui program NANOVerify oleh NVSB.

Skip to content