Skip to main content
News

MASTIC Mengorak Langkah Bekerjasama Dengan KISTI dan ISTIC Untuk Memacu Pengurusan Dan Analisis Data STI Negara

26 Disember 2024, Korea Selatan – Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengorak langkah ke hadapan dengan melaksanakan kerjasama dengan Korean Institute of Science And Technology Information (KISTI), melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) antara International Science, Technology and Innovation Centre for South-South Cooperation (ISTIC) dan KISTI bagi memajukan pengurusan dan analisis data sains, teknologi, dan inovasi (STI) negara.

Kerjasama tiga pihak ini menegaskan komitmen MASTIC, KISTI, dan ISTIC untuk memperkukuh ekosistem STI global melalui pembentukan repositori dan analisis data yang komprehensif. MoU ini juga mencerminkan visi bersama untuk memanfaatkan STI bagi tujuan pembentukan dasar yang berinformasi, inovasi strategik, dan pembangunan sosioekonomi.
MoU ini menggariskan perkongsian strategik dengan penekanan kepada:
✅Membangunkan repositori data STI yang komprehensif bagi memudahkan akses dan perkongsian data tanpa halangan.
✅Memperkukuh keupayaan analisis data bagi menyokong pembuatan dasar berasaskan data dan fakta dalam STI.
✅Melaksanakan inisiatif pembangunan kapasiti dalam analitik data besar, kecerdasan buatan, dan teknologi pengkomputeran.
✅Meningkatkan kerjasama dalam projek penyelidikan dan inovasi yang sejajar dengan keutamaan nasional dan antarabangsa.
Timbalan Pengarah MASTIC, Puan Karen George Abraham yang mewakili MOSTI semasa majlis menandatangangani MOU antara KISTI dan ISTIC pada 17 Disember 2024, bertempat di KISTI, Daejeon, Korea Selatan, menekankan kepentingan inisiatif ini dengan menyatakan, “Kerjasama ini menandakan langkah penting dalam transformasi Malaysia ke arah pembuatan keputusan berasaskan data STI. Dengan memanfaatkan analisis data dan sistem repositori, kami berhasrat untuk menyokong inovasi dan pembangunan dasar di peringkat nasional dan serantau.”
Kerjasama ini akan merangkumi aktiviti seperti:
📍Pengukuhan repositori data STI berpusat yang berfungsi sebagai pusat rujukan nasional dan membina ekosistem inovasi peringkat global.
📍Penganjuran bengkel dan program latihan secara bersama mengenai metodologi
📍Perkongsian kepakaran dan teknologi untuk meningkatkan sistem pengurusan data STI.
📍Melaksanakan kajian dan projek bersama untuk meneroka trend baharu dalam STI.
YBrs. Dr. Sik Lee, Presiden KISTI, berkata “KISTI berbesar hati untuk bekerjasama dengan MASTIC dan ISTIC untuk memacu kemajuan STI melalui kecemerlangan data. Bersama-sama, kita akan membina masa depan di mana sains dan teknologi menjadi pemacu pembangunan mampan.”
Sementara itu, YBrs. Professor ChM. Dr. Mohd Basyaruddin Abdul Rahman dari ISTIC, menegaskan, “Kerjasama ini adalah mercu tanda dalam memupuk kerjasama Selatan-Selatan. Dengan menggabungkan sumber dan kepakaran, kita dapat mencipta penyelesaian STI yang memberi impak untuk cabaran global.”
Skip to content