23 November 2026, Putrajaya – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, telah menerima kunjungan hormat daripada TYT Ardasher Saidjafar Qodiri, Duta Besar Republik Tajikistan ke Malaysia, pada hari ini.
Pertemuan ini membuka ruang kepada Malaysia dan Republik Tajikistan untuk memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI), serta meneroka peluang kerjasama bagi manfaat bersama.
Malaysia terbuka untuk meneroka kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemindahan dan pengkomersialan teknologi, pertukaran kepakaran serta pembangunan kapasiti. Perbincangan turut menyentuh potensi kerjasama dalam teknologi hidrogen dan pembangunan syarikat pemula (startup).
Kunjungan ini turut menjadi platform untuk mengenal pasti potensi kerjasama STI menjelang lawatan rasmi TYT Emomali Rahmon, Presiden Republik Tajikistan, ke Malaysia pada Disember 2026.
Penerokaan kerjasama selanjutnya akan mengambil kira bidang keutamaan, kepakaran dan kepentingan bersama kedua-dua negara.




