Skip to main content
News

Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu National Technology And Innovation Sandbox (NTIS) Bil. 1/2026

23 November 2026, Putrajaya – Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) Bil.1/2026 yang dipengerusikan secara bersama oleh YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan YBhg. Tan Sri Dr. Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara telah diadakan pada 23 November 2026 bertempat di Bilik Gerakan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh YB Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha MOSTI; YBhg. Datuk Fabian Bigar, Ketua Setiausaha Kementerian Digital; Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan wakil-wakil dari kementerian dan agensi kerajaaan yang lain.
Inisiatif NTIS di bawah penyelarasan MOSTI ini merupakan satu platform yang membolehkan syarikat pemula (startups), penyelidik dan usahawan berteknologi tinggi untuk menguji produk, teknologi atau perkhidmatan dalam persekitaran yang sebenar (live environment) dan dalam keadaan yang selamat dengan memberi kelonggaran daripada undang-undang dan peraturan sedia ada, secara umum atau khusus (pendekatan sandbox), untuk tujuan pembangunan teknologi dan seterusnya ke arah pengkomersialan.
Selain itu, inisiatif NTIS yang kini telah memasuki tahun keenam pelaksanaannya ini juga merupakan salah satu program flagship MOSTI di bawah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) dan telah berjaya membantu pihak-pihak berkepentingan terutamanya bagi usahawan teknologi, syarikat pemula serta Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) tempatan dalam memudahcara proses pengawalseliaan, pengujian dan pengkomersialan terutamanya teknologi-teknologi baharu muncul (emerging tech).
Sejak pelancarannya pada Ogos 2020, NTIS telah berjaya mengkomersialkan 103 teknologi tempatan dengan nilai pengkomersialan sebanyak RM172.3 juta, di samping mewujudkan 397 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. Sehingga Oktober 2026, sebanyak 152 syarikat tempatan telah menerima pembiayaan berjumlah RM150.8 juta melalui NTIS. Selain itu, sebanyak 14 penyelesaian teknologi yang dibangunkan melalui NTIS telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dengan nilai eksport sebanyak RM122.8 juta.
Di bawah RMKe-13, NTIS akan terus memperluas jaringan kerjasama antarabangsa melalui pelaksanaan Global Testbed and Sandbox Alliance (GTSA) yang dilihat sebagai satu langkah penting untuk memastikan teknologi tempatan bukan sahaja berjaya dibangunkan dan diuji di dalam negara, tetapi turut mempunyai keupayaan untuk menembusi pasaran antarabangsa dan berkembang pada skala yang lebih besar. Mesyuarat pada hari ini turut membincangkan cadangan penstrukturan semula pelan dana bagi memudahcara penyertaan yang lebih tinggi dari pihak berkepentingan seperti syarikat pemula serta penyelarasan inisiatif 𝑠𝑎𝑛𝑑𝑏𝑜𝑥 bagi memelihara kepentingan awam dan memperkasakan ekosistem 𝑠𝑎𝑛𝑑𝑏𝑜𝑥 negara.
YB Datuk Chang Lih Kang dalam perutusannya berharap agar dengan sokongan dan kerjasama berterusan setiap Kementerian, Jabatan, Agensi, industri, institusi penyelidikan dan rakan strategik, lebih banyak teknologi tempatan dapat dibangunkan, dikomersialkan dan dimanfaatkan, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara pengeluar dan pencipta teknologi.
Skip to content