Skip to main content
News

Memperkukuh Hubungan Kerjasama Sains, Teknologi dan Inovasi antara Malaysia dan United Kingdom

12 November 2026, Kuala Lumpur – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, telah menerima kunjungan hormat daripada TYT Ajay Sharma, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, di Parlimen Malaysia pada hari ini.
Pertemuan ini mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan United Kingdom, khususnya dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI), serta komitmen berterusan kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama strategik dan meneroka peluang baharu yang dapat memberikan manfaat bersama.
Malaysia mengalu-alukan cadangan kerjasama daripada institusi penyelidikan dan organisasi berkaitan di United Kingdom, khususnya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), pertukaran kepakaran, penganjuran seminar serta pembangunan modal insan. Dengan pengalaman dan kemajuan United Kingdom dalam bidang STI, kerjasama ini berpotensi memperkukuh keupayaan penyelidikan, mempercepat pembangunan teknologi serta meningkatkan daya saing dan ekosistem inovasi negara.
Malaysia komited untuk terus memperkukuh hubungan dua hala dengan United Kingdom bagi memacu kemajuan STI yang mampan dan memberikan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
Skip to content