Skip to main content
News

Program STEM Camp MOSTI 2026: Meneroka Dunia Penerbangan dan Teknologi Dron Menerusi STEM Camp Aviation & Drone

11–12 November 2026, Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus memperkukuh agenda pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) melangkaui bilik darjah menerusi penganjuran Program STEM Camp MOSTI 2026: STEM Camp Aviation & Drone yang berlangsung selama dua hari sehingga hari ini di beberapa hab teknologi dan simulasi penerbangan terkemuka negara, iaitu Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), MRANTI Park, Kuala Lumpur; Universiti Kuala Lumpur – Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), Dengkil, Selangor; dan pusat simulasi penerbangan Young Aviation Academy / Simflight KL.
Program berteraskan pengalaman lapangan ini dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Kuala Jengal dengan sinergi strategik bersama MRANTI, UniKL MIAT serta Young Aviation Academy. Penganjuran kali ini berjaya menghimpunkan seramai 50 orang murid dari Sekolah Kebangsaan Kuala Jengal, Dungun, Terengganu untuk menyelami ekosistem sebenar industri aeroangkasa dan teknologi dron.
Melalui pendekatan berasaskan pengalaman langsung (experiential learning), para peserta diberi peluang merasai sendiri dunia kejuruteraan penerbangan menerusi pengisian padat dan interaktif seperti:
✨ Pengenalan teknologi, aplikasi serta demonstrasi penerbangan dron di MRANTI
✨ Sesi perkongsian interaktif bersama pakar industri dan aktiviti hands-on STEM
✨ Pendedahan fungsi dron dalam sektor sebenar meliputi pertanian, pemetaan, keselamatan dan logistik
✨ Modul “Introduction to UniKL MIAT’s Aircraft” di UniKL MIAT
✨ Aktiviti eksplorasi di dalam hangar bersama pesawat sebenar bagi mengenali jenis, fungsi dan ciri asas pesawat
✨ Pengalaman pengendalian kokpit dan simulasi penerbangan sebenar bersama Young Aviation Academy di Simflight KL
Pendedahan berimpak tinggi di hab inovasi dan institusi penerbangan terkemuka negara ini bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam memahami prinsip aerodinamik dan teknologi tanpa pemandu, malah mencetuskan inspirasi buat pelajar untuk bercita-cita tinggi dalam bidang sains serta kejuruteraan. Inisiatif berterusan MOSTI ini menzahirkan iltizam kementerian dalam memastikan setiap pelajar berpeluang merasai kemajuan teknologi negara demi melahirkan generasi pencipta masa depan.
Merakyatkan sains. Menginsankan teknologi. Mengarusperdanakan inovasi.
Skip to content