Skip to main content
News

Memperkukuh Kerjasama Malaysia – Denmark Dalam Sains Teknologi Dan Inovasi

28 September 2026, Putrajaya – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, telah menerima kunjungan hormat daripada PYT Kirstine Vangkilde Berner, Duta Besar Denmark ke Malaysia. Sesi perjumpaan ini bertujuan bagi membincangkan peluang untuk menghidupkan semula dan memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).
Kerjasama Malaysia–Denmark dalam bidang STI sebelum ini telah terjalin dari tahun 1994 hingga 2010 melalui kerangka Danish Cooperation for Environment and Development (DANCED) dan Danish International Development Assistance (DANIDA), yang telah menyumbang kepada pembangunan kapasiti dan perkongsian kepakaran dalam pelbagai bidang di Malaysia. Kerjasama tersebut kemudiannya tidak diteruskan susulan perubahan status Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.
Pertemuan kali ini membuka ruang untuk Malaysia dan Denmark meneroka semula potensi kerjasama dalam bidang strategik dan berimpak tinggi, termasuk bioteknologi, teknologi termaju, semikonduktor, teknologi nuklear, angkasa, tenaga bersih serta bidang-bidang baharu yang berkaitan.
Selain kerjasama dalam bidang teknologi, kedua-dua pihak turut meneroka peluang memperkukuh jaringan antara institusi penyelidikan, industri dan ekosistem inovasi bagi menyokong pertukaran kepakaran, pengetahuan dan pengalaman.
Malaysia dan Denmark mempunyai potensi yang luas untuk membangunkan kerjasama STI yang saling melengkapi, berteraskan kepentingan bersama dan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Skip to content