28 September 2026, Sibu – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus memperkukuh pembangunan bakat muda dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) menerusi Malaysia Techlympics 2026 Peringkat Zon Sarawak.
Majlis peluncuran program telah disempurnakan oleh YBhg. Datu Haji Adana bin Haji Jed, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak di Universiti Teknologi Sarawak, Sibu.
Pusingan zon ketujuh ini menghimpunkan 915 peserta dari seluruh Sarawak yang bersaing untuk melangkah ke Peringkat Akhir Kebangsaan pada November 2026 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Selangor.
Malaysia Techlympics bukan sekadar pertandingan, sebaliknya platform pembudayaan STI berteraskan pendekatan hands-on dan experiential learning yang menggalakkan peserta menguji idea, mengasah kemahiran serta menyelesaikan masalah secara kreatif.
Usaha ini selari dengan aspirasi melahirkan generasi muda sebagai pemikir dan pencipta teknologi tempatan, sekali gus membina bakat STI yang berdaya saing dan bersedia menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.




