2 November 2026, Putrajaya – YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara, telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi dan Pemantauan Sains Negara (JKPSN) Bilangan 2 Tahun 2026 yang berlangsung pada hari ini di Dewan Persidangan, Aras 1, Blok Timur, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
Mesyuarat telah meneliti kertas pertimbangan dan kertas makluman sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Sains Negara (MSN) yang akan dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri, pada 24 November 2026.
Perbincangan memberi tumpuan kepada cadangan strategik membantu negara mendepani cabaran semasa, merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui pendekatan berasaskan sains, teknologi dan inovasi (STI), serta memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk Indeks Inovasi Global (Global Innovation Index), pembangunan perubatan regenaratif dan pendekatan kerajaan terhadap teknologi kuantum.
JKPSN akan memantau pelaksanaan program dan inisiatif yang telah diluluskan oleh MSN bagi memastikan keberkesanannya serta selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh peranan STI sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.




