2 November 2026, Putrajaya – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Pejabat Pengurusan Projek Pembangunan Vaksin Malaysia (MVPO) mengadakan Bengkel Pemantapan Pengurusan Dana Pembangunan dan Pengukuhan Penghasilan Vaksin Negara (DPVN) pada 2 dan 3 November 2026. Bengkel ini merupakan usaha MOSTI untuk menambahbaik tadbir urus dan pengurusan DPVN selaras dengan keperluan semasa ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin tempatan.
YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, telah merasmikan Bengkel DPVN. Dalam ucapan perasmian, beliau menekankan kepentingan hala tuju R&D&C&I vaksin berteraskan misi selaras dengan fokus strategik MOSTI (2026–2030), di mana pelaksanaan DPVN perlu menumpukan bidang keutamaan negara bagi merapatkan jurang ekosistem serta merealisasikan aspirasi Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN).
Melalui penganjuran bengkel ini, MOSTI percaya bahawa kolaborasi menyeluruh yang melibatkan semua pemegang taruh adalah kunci dalam memacu pembangunan ekosistem vaksin negara. Sesi libat urus berkaitan pengurusan DPVN bersama pemegang taruh utama dalam bidang vaksin, melibatkan wakil Kerajaan, industri, akademia dan agensi penyelidikan.
Perbincangan yang konstruktif, perkongsian secara interaktif, serta input yang diperoleh daripada bengkel ini diyakini akan memberikan manfaat kepada semua pihak dan menyumbang kepada penambahbaikan Garis Panduan DPVN mengikut keperluan semasa dan masa hadapan.




