Skip to main content
News

Mesyuarat Majlis Sains Negara Bilangan 1 Tahun 2025

05 November 2025, Putrajaya – YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara (MSN) Bilangan 1 Tahun 2025 yang telah diadakan di Jabatan Perdana Menteri.

Mesyuarat turut dihadiri oleh YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Menteri-menteri berkaitan bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), YBhg. Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam bin Hj Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI, wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak serta pakar-pakar STI negara.
Majlis Sains Negara berperanan sebagai platform tertinggi dalam menetapkan hala tuju strategik STI negara serta memantau kemajuan pelaksanaan program dan inisiatif berkaitan.

Dalam mesyuarat ini, ahli-ahli Majlis turut meneliti prestasi Indeks Inovasi Global (GII) yang meletakkan Malaysia di tangga ke-34 dunia. YAB Pengerusi bersama ahli-ahli mesyuarat telah bersetuju dengan syor-syor yang dikemukakan oleh MOSTI bagi memperkukuh daya saing negara, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai negara berteknologi tinggi.

Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai beberapa perkembangan penting, termasuk penambahbaikan proses pembiayaan dana MOSTI, kemajuan industri unsur nadir bumi, serta laporan industri daripada MIGHT yang merangkumi bidang Advanced Air Mobility, Malaysian Shipbuilding and Ship Repair (SBSR), Navigating Malaysia’s Space Frontier dan Aerospace Technology and Innovation.

MOSTI akan menyusuli semua keputusan yang dipersetujui dalam mesyuarat ini bersama pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaannya dapat dijalankan dengan efektif, ke arah melonjakkan tahap daya saing dan kemajuan STI negara menjelang tahun 2030.

Skip to content