Skip to main content
News

Merakyatkan bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) sebagai pemboleh daya kepada pemantapan sosioekonomi negara

8 April 2022, Putrajaya – Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) yang pertama bagi tahun 2022 pada 8 April 2022 telah membincangkan pelbagai usaha kerajaan bagi merakyatkan bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) sebagai pemboleh daya kepada pemantapan sosioekonomi negara. Ia berlandaskan tiga teras utama Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran selari dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Mesyuarat tersebut antaranya membincangkan tentang Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara 2021-2025 yang wajar diaplikasikan kepada pelbagai industri. Ini adalah selari dengan Revolusi Industri 4.0 seperti pertanian pintar, tenaga boleh baharu, industri halal dan teknologi perubatan.

Selain itu, mesyuarat juga telah membincangkan penawaran (modal insan) dan permintaan (pasaran pekerjaan) dalam sektor Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang memerlukan penyelesaian secara tuntas untuk meningkatkan daya saing STI negara.

Mesyuarat turut menyentuh tentang kepentingan untuk mengetengahkan STI di peringkat komuniti melalui Malaysia Inovasi Sosial (MyIS). Usaha MOSTI ini adalah satu langkah yang baik dalam memperkasakan inovasi di peringkat akar umbi. Inisiatif ini dilihat mampu menganjakkan pengagihan ekonomi yang inklusif kepada semua peringkat pendapatan terutamanya B40 dan M40 dengan memfokuskan kepada pengaplikasian teknologi tempatan di peringkat akar umbi.

Kerajaan menerusi penubuhan Inisiatif National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) juga telah mempergiatkan pengkomersialan hasil inovasi tempatan yang berpaksikan kepada kemampanan sosioekonomi negara.

Mesyuarat juga mengambil maklum akan hubung kait antara kesihatan manusia dan alam semula jadi, biodiversiti dan perubahan iklim. Pandemik COVID-19 yang merupakan salah satu penyakit zoonotik telah mengakibatkan 6.11 juta kematian di dunia dan terdapat penyakit-penyakit zoonotik lain seperti denggi dan zika yang juga berpunca daripada status keadaan alam semula jadi yang semakin terancam.

Bagi memastikan Malaysia selangkah di hadapan dalam menangani isu ini secara holistik, mesyuarat juga bersetuju agar MOSTI menerusi Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan kerjasama daripada semua pemegang taruh untuk menggubal Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara (PTKPN).

Skip to content