Skip to main content
News

MNIG Bakal Menghimpunkan Pemain Industri Nano Tempatan

12 April 2022, Putrajaya – YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini mengadakan Sesi Libat Urus Industri Nano Tempatan bersama pemegang taruh di kalangan industri nanoteknologi di Malaysia.

Penglibatan sektor swasta dan industri khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang mempelopori industri nanoteknologi di Malaysia memberi impak yang sangat besar dalam ekosistem nanoteknologi.

Sumbangan PKS dalam industri nanoteknologi berpotensi tinggi kepada ekonomi negara serta memberikan faedah sosio-ekonomi kepada Keluarga Malaysia seperti penciptaan pekerjaan sebanyak 33,391 selain menyumbang RM151.5 bilion kepada KDNK. Kini, produk nano di pasaran Malaysia telah merekodkan melebihi 900 produk yang bernilai RM 381.8 juta pada tahun 2020.

Justeru itu, sesi libat urus ini diadakan sebagai perkongsian dasar, pelan dan aktiviti industri nanoteknologi negara di samping mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pihak industri berkenaan cabaran dan masalah yang dihadapi dalam ekosistem nanoteknologi.

YB Dato’ Sri Dr. Adham berkata, “Sesi libat urus sebentar tadi juga merupakan langkah awal bagi penubuhan Malaysian Nanotechnology Industrial Group (MNIG) untuk menghimpunkan pemain industri nano di Malaysia, sekali gus mengurangkan jurang penglibatan dalam ekosistem nanoteknologi negara. Diharap ia menjadi platform terbaik ke arah penglibatan lebih banyak industri dalam bidang nanoteknologi seterusnya mampu menembusi pasaran antarabangsa.”

MNIG merupakan salah satu inisiatif Dasar dan Strategi Nanoteknologi Kebangsaan (DSNN), dan ia disasarkan untuk ditubuhkan secara rasmi dalam suku ketiga tahun ini.

MNIG akan berperanan sebagai pelantar untuk kerjasama yang lebih erat diantara syarikat-syarikat nanoteknologi, PKS dan juga membantu penyelarasan diantara syarikat dalam rantaian bekalan produk nanoteknologi.

Selepas MNIG ditubuhkan, ia juga akan menjadi ahli dalam Jawatankuasa Penyelarasan Nanoteknologi Negara sebagai wakil suara industri nano tempatan dan akan turut mendapatkan input daripada persatuan-persatuan.

Penubuhan MNIG ini bakal merealisasikan hasrat negara untuk menjadi pemain industri nano di peringkat serantau yang diunjurkan oleh Pasaran Asia Pasifik iaitu USD$2.671 trillion pada tahun 2025.

Skip to content