29 September 2026, Kuala Lumpur – Pagi tadi, YB Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof Apdal, telah merasmikan MIMOS Technology Preview (MTP) 2026 di MIMOS Technology Park Malaysia, Kuala Lumpur, yang membawa tema “Technology Beyond Boundaries: Advancing Malaysia’s Technology Frontier.”
MTP 2026 bukan sekadar pameran teknologi, tetapi mencerminkan aspirasi negara untuk memastikan pelaburan dalam penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat diterjemahkan kepada teknologi yang menjana nilai ekonomi, memperkukuh industri serta memberi manfaat kepada rakyat.
Selama lebih 40 tahun, MIMOS sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) gunaan negara di bawah MOSTI telah memainkan peranan penting dalam membangunkan keupayaan teknologi tempatan, merangkumi bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, semikonduktor, elektronik termaju, pembuatan pintar, blockchain dan teknologi kuantum.
Pencapaian MIMOS turut dizahirkan melalui 17 pakej teknologi yang telah dilesenkan, lebih 2,000 paten difailkan serta 29 versi Pakej Pelepasan Teknologi yang sedia untuk pemindahan teknologi dan pengkomersialan. Perkembangan ini membuktikan potensi hasil penyelidikan tempatan untuk dikembangkan menjadi penyelesaian yang bernilai kepada industri dan masyarakat.
Dalam ucapannya, YB Timbalan Menteri menegaskan bahawa kejayaan inovasi tidak seharusnya diukur berdasarkan hasil penyelidikan atau paten semata-mata, tetapi melalui penerimaan, kebolehskalaan dan impak sebenar teknologi tersebut. Inovasi perlu bergerak keluar dari makmal, memasuki pasaran dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta kedaulatan teknologi negara.
Beliau turut menyeru pemain industri, pelabur, ahli akademik dan rakan strategik tempatan serta antarabangsa agar memperkukuh kerjasama dalam membangunkan ekosistem inovasi negara. Melalui penyatuan kepakaran, pembiayaan, akses pasaran dan keupayaan pelaksanaan, teknologi ciptaan Malaysia berpotensi untuk berkembang dan bersaing di peringkat global.
MOSTI komited untuk terus memperkukuh ekosistem penyelidikan, pembangunan, inovasi dan pengkomersialan (RDICE) agar Malaysia bukan sekadar menjadi pengguna teknologi masa hadapan, tetapi turut berupaya mencipta, memiliki dan membentuk teknologi tersebut.
Syabas dan tahniah kepada seluruh warga MIMOS Berhad atas penganjuran MTP 2026 serta komitmen berterusan dalam memacu kemajuan teknologi negara.




