Skip to main content
News

MOSTI Perkukuh Ekosistem STI, Pacu Pertumbuhan Syarikat Teknologi Bumiputera

8 September 2026, Cyberjaya – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus memperkukuh ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI) negara melalui kerjasama strategik bersama VentureTECH dan pemain industri bagi menyokong pembangunan serta penskalaan syarikat teknologi tempatan.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), MOSTI telah mengadakan lawatan kerja ke VentureTECH dan syarikat penerima pelaburannya, Move Robotic Sdn. Bhd. pada 8 September 2026, bagi meninjau perkembangan teknologi tempatan serta memahami potensi dan cabaran yang dihadapi syarikat dalam usaha mengembangkan perniagaan dan memperluas pasaran.
Lawatan tersebut turut menzahirkan komitmen MOSTI dalam memperkasa penyertaan dan pemilikan Bumiputera dalam sektor berteknologi tinggi, selaras dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Sokongan melalui pelaburan strategik, pembangunan keupayaan syarikat dan pengkomersialan inovasi tempatan merupakan antara pendekatan penting dalam meningkatkan daya saing syarikat Bumiputera serta memperkukuh penglibatan mereka dalam rantaian nilai industri berteknologi tinggi.
Selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), MOSTI melalui agensinya akan terus memperkasakan industri bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan dan penskalaan syarikat teknologi tempatan yang berpotensi tinggi.
Pelaburan strategik menerusi VentureTECH dijangka dapat memperluas akses syarikat tempatan kepada pasaran dan peluang pelaburan, memperkasa pembangunan bakat serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Usaha ini sekali gus menyumbang kepada pembentukan ekosistem STI negara yang lebih dinamik, berdaya saing dan inklusif, serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berimpak tinggi.
Skip to content