Skip to main content
News

Pelancaran Pelan Induk Taman MRANTI dan Penjenamaan Baharu MIMOS Berhad

6 Oktober 2022, Bukit Jalil – Taman MRANTI (MRANTI Park) iaitu taman teknologi dan hab inovasi terunggul di negara akan dinaik taraf untuk mencergaskan semula ekosistem teknologi Malaysia.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob telah merasmikan Pelan Induk Taman MRANTI yang akan memberi tumpuan kepada tiga (3) teras pembangunan iaitu Inovasi, Kemampanan Alam Sekitar dan Budaya Urban/Setempat.

Melalui pelan induk ini, anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) adalah sebanyak RM20 bilion dengan nilai pulangan pajakan tanah RM2.8 bilion oleh MRANTI kepada para pelabur.

Di samping itu, lima (5) kluster teknologi sedang dibangunkan di Taman MRANTI iaitu teknologi dron, pertanian, kesihatan, biosains dan pemboleh 4IR.

“Dengan Pelan Induk baharu di Taman MRANTI ini, MRANTI akan memupuk keupayaan Malaysia dalam 4IR dan teknologi yang sedang berkembang pesat daripada sistem IoT, perkhidmatan IP hujung-ke-hujung dan makmal kepada kemudahan pembuatan kontrak dengan teknologi canggih,” kata YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob dalam ucapannya semasa merasmikan Pelan Induk Taman MRANTI.

Kawasan seluas 686 ekar ini telah menarik minat banyak syarikat teknologi, termasuk Intervenn Biosciences, Dedikasi Aba Biosciences, BoomGrow, Spygene Laboratories, Vivantis Technologies dan Reszon. Malahan pada tahun ini, beberapa syarikat teknologi antarabangsa telah memulakan rundingan serius bersama pihak MRANTI untuk bertapak di sini.

Sejajar dengan pembaharuan yang akan dibawa ke MRANTI, Mimos Berhad juga akan diperkukuh dengan merancakkan lagi aktiviti R&D dalam bidang pengkhususan semikonduktor, mikroelektronik dan ICT. YAB Perdana Menteri turut mengumumkan Penjenamaan baharu MIMOS Berhad kepada ‘MIMOS Global’.

“Penjenamaan ini akan melambangkan imej baharu yang lebih antarabangsa, sesuai dengan daya saing bidang teknologi yang tidak mengenal sempadan” kata YAB Dato’ Sri Ismail Sabri.

Tambahnya, “Aktiviti huluan yang bernilai tambah tinggi seperti rekabentuk litar sepadu (IC design), fabrikasi semikonduktor, pembungkusan maju (advanced packaging) dan embedded systems akan dirancakkan oleh MIMOS untuk memenuhi permintaan industri yang semakin kompleks disebabkan trend penggunaan AI, robotik, sensor dan bahan termaju.”

Dalam majlis yang sama, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob dan YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MIMOS Global dengan MyEG, Turkish Aerospace Industries (Turkiye), AT&S (Austria) dan Efinix (USA).

 

IMG 8571           DSC 0936

         

Skip to content