Skip to main content
News

Penggulungan Perbahasan Belanjawan 2027 Peringkat Dasar Bagi Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) Di Dewan Rakyat

26 Oktober 2026, Kuala Lumpur – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Peringkat Dasar) bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas (2026) di Dewan Rakyat.
Perbahasan Belanjawan 2027 (Peringkat Dasar) melibatkan sembilan (9) orang Ahli Yang Berhormat yang mengemukakan pelbagai pandangan serta membangkitkan isu-isu berimpak tinggi berkaitan portfolio MOSTI.
Bagi Belanjawan Malaysia MADANI 2027, MOSTI menerima peruntukan sebanyak RM775.46 juta bagi perbelanjaan mengurus iaitu peningkatan sebanyak 2.08% berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, sebanyak RM516.93 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan bagi tahun 2027. Peruntukan ini mampu mengekalkan momentum pelaksanaan pembangunan di bawah MOSTI setara dengan peruntukan sebanyak RM516.22 juta pada tahun 2026.
MOSTI berhasrat Malaysia berupaya mencipta, memiliki dan membangunkan teknologi sendiri, dengan perusahaan serta tenaga mahir tempatan memperoleh ruang untuk berkembang. Dalam melaksanakan peruntukan Belanjawan 2027, kejayaan perlu dilihat melalui kemajuan yang dapat disahkan daripada keupayaan penyelidikan kepada penggunaan teknologi.
Turut hadir YB Dato’ Dr. Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Datin Safida Zalma binti Mohd Piah, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan) MOSTI, YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), Setiausaha-Setiausaha Bahagian serta wakil-wakil bahagian, jabatan dan agensi.
Skip to content