31 Oktober 2023, Kuala Lumpur – Pembangunan bakat sains, teknologi dan inovasi (STI), merupakan satu daripada elemen penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia seterusnya memangkin inovasi dan keunggulan teknologi negara di persada dunia Justeru, kombinasi pembelajaran formal dan tidak formal secara berfokus akan menjadi pemangkin dalam menarik minat generasi muda untuk menceburi bidang STEM lantas memastikan Malaysia terus kompetitif di peringkat global.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, “Komitmen berterusan Kerajaan dalam pembangunan bakat STI ini jelas diperlihatkan melalui RM100 juta yang telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2024 bagi memperkasakan pembelajaran STEM dalam sektor pendidikan lantas menyumbang kepada kelahiran generasi masa hadapan yang mahir STEM, berkualiti tinggi dan berdaya saing.” Beliau berucap demikian di Peringkat Akhir National Science Challenge (NSC) 2023 anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM).
NSC telah diperkenalkan sejak tahun 1983 sebagai kuiz sains yang diedarkan kepada sekolah-sekolah di Malaysia. Pada tahun 1999, ASM mengambil alih peranan sebagai penganjur NSC di mana program ini telah menjadi salah satu pertandingan sains kebangsaan yang memberikan cabaran berasaskan standard yang tinggi kepada pelajar sekolah menengah tingkatan 1 hingga 4.
Bertemakan “Menjamin Sekuriti Makanan Negara melalui STI”, NSC 2023 telah merekodkan penyertaan sebanyak 9,888 buah kumpulan dengan pembabitan 29,664 pelajar di seluruh negara.
“Malaysia kini berada pada tangga ke-41 dalam Indeks Keterjaminan Makanan Global 2022 dari 113 negara dengan skor 69.9. Untuk memperbaiki kedudukan ini, strategi jangka panjang dalam mengukuhkan industri agromakanan diperlukan, dengan STI memegang peranan penting dalam menawarkan solusi.”
Ulasnya lagi, beliau percaya pertandingan ini akan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat umum terutamanya generasi muda tentang krisis sekuriti makanan global dan berfungsi sebagai platform untuk mendorong kreativiti dan inovasi pelajar dalam mencari solusi untuk keterjaminan makanan di Malaysia dan dunia.
Tahniah diucapkan kepada pasukan dari Kolej Yayasan Saad – Melaka yang bergelar juara untuk NSC edisi 2023. Tempat kedua dimenangi oleh SMJK Jit Sin (cf) – Pulau Pinang, Tempat ketiga SMJK Kwang Hua – Selangor, Keempat SMJK Chung Hwa (cf) – Kelantan dan Tempat kelima SMK Infant Jesus Covent – Johor. Komunikator STEM Terbaik pula disandang oleh Ayra Alisha binti Mohd Affandi dari Kolej Yayasan Saad, Melaka.
NSC 2023 mendapat sokongan daripada rakan kongsi strategik iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Petrosains Sdn Bhd, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Sasbadi Online Sdn Bhd dan Young Scientists Network-Akademi Sains Malaysia (YSN-ASM).