10 Januari 2022, Kuala Lumpur – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi agensinya, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) hari ini memeterai kerjasama strategik yang bakal memberi manfaat kepada pencarum PERKESO daripada kalangan B40 untuk meningkatkan sosio-ekonomi mereka melalui penciptaan produk inovasi.
Menerusi kerjasama ini, PERKESO dan YIM akan memperkasakan penggunaan teknologi untuk pembangunan inovasi dan reka cipta dalam Program Return to Work (RTW), sekaligus menyumbang ke arah pengurusan hilang upaya yang lebih efisien dan efektif.
Kerjasama ini dimeterai menerusi satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO, Encik John Riba Marin dan Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Puan Sharmila Mohamed Salleh, dalam satu majlis pagi tadi. Hadir menyaksikan Majlis Menandatangani MoU tersebut adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba; Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Seri M. Saravanan; Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Datuk Zainal Abidin Abu Hassan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Antarabangsa) KSM, Maniam Arumugam.
Menerusi kerjasama ini, YIM akan turut menyediakan kemudahan geran yang memfokuskan kepada kelangsungan proses untuk membangunkan produk-produk inovasi dan reka cipta dalam kalangan peserta program RTW agar manfaat daripada bantuan ini dapat dinikmati secara berterusan dan komprehensif.
Menerusi kerjasama ini juga, satu garis panduan pengurusan reka cipta dan inovasi program RTW akan dibangunkan agar peserta program dan golongan pekerja amnya dapat menerima manfaat ke arah persekitaran pekerjaan yang kondusif dan selamat untuk jangka masa panjang sama ada pekerjaan dalam sektor formal ataupun bekerja sendiri.
Selari dengan keperluan zaman, penggunaan teknologi melalui pendekatan inovasi dan reka cipta juga dilihat sebagai pilihan yang tepat untuk memudahkan para peserta program RTW untuk kembali ke alam pekerjaan dengan lancar.
Terdahulu, PERKESO telah menganjurkan satu Pertandingan Inovasi dan Rekacipta (IRC) yang mana YIM telah terlibat sebagai juru runding serta juri untuk memilih para pemenang.
Pertandingan tersebut berjaya mencungkil idea inovasi daripada para peserta yang berpotensi untuk dikomersialkan, sekaligus dapat membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi negara.