KUALA LUMPUR, 11 JUN 2020 – Satu demonstrasi inovasi penyembelihan lembu telah diadakan dan disaksikan oleh YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan YB Tuan Haji Ahmad Amzad Hashim, Timbalan Menteri MOSTI hari ini di Biotechnology Incubation Centre, Technology Park Malaysia (TPM), Bukit Jalil.
Dalam pertemuan baru-baru ini, kedua-dua Menteri telah bersetuju untuk mewujudkan kerjasama strategik dalam memacu inovasi bagi pembudayaan sains dalam kalangan masyarakat khususnya umat Islam termasuklah inovasi penyembelihan.
Menggunakan produk inovasi Sangkar Penyembelihan Mudah Alih yang dicipta oleh inovator YIM, Haji Hamzan bin Hashim dari Arau, Perlis ini telah menarik minat Menteri untuk menekankan kepada seluruh rakyat terutama masyarakat Islam yang akan menyambut Aidil Adha tidak lama lagi bahawa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) program atau acara penyembelihan masih boleh dijalankan.
Sangkar yang diperbuat daripada besi keluli ini boleh menggantikan teknik tradisional penyembelihan haiwan ternakan seperti lembu kepada teknik yang lebih mudah, cepat dan terurus, di samping dapat mengamalkan penjarakan sosial dan meminimakan tenaga kerja kepada 3 orang sahaja. Penambahbaikan juga telah dilakukan oleh Haji Hamzan dengan menaik taraf teknik mekanikal kepada sistem hidraulik bagi mempercepatkan lagi proses penyembelihan seekor lembu.
Ringkasnya, cara penggunaan sangkar ini, lembu hanya perlu ditolak masuk ke dalam kurungan, kemudian badannya dikepit dan dikunci dengan dua rangka besi berukuran 4×6 kaki bagi tujuan menghalang pergerakannya. Seterusnya, kepala lembu dikepit pada pengapit melalui ruangan di hadapan sangkar sedia disembelih. Bagi memudahkan proses penyembelihan, sangkar tersebut boleh dipusingkan untuk menumbangkan atau membaringkan lembu tersebut. Setelah kedudukan selesa dan mengadap kiblat maka bolehlah melaksanakan penyembelihan dengan sempurna.
Inovasi Sangkar Penyembelihan Mudah Alih telah terlibat dalam program MOSTI Social Innovation (MSI) yang kini dikenali sebagai Malaysia Social Innovation (MySI) pada tahun 2015 bagi projek di negeri Sabah, Sarawak, Melaka, Pahang dan Johor.
Masjid Nurul Khair, Semariang Batu, Kuching; Masjid Annur, Tuaran, Sabah; Masjid Tangga Batu Pekan, Melaka; Masjid Sultan Ahmad Shah, Jengka, Pahang; dan Masjid Jamek Sungai Abong, Muar, Johor adalah antara penerima manfaat bagi produk inovasi ini.