Skip to main content
News

Program Kimia ke Desa & Sambutan Hari Malaysia

16 September 2023, Sabah – Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Arthur Joseph Kurup hari ini merasmikan Program Kimia ke Desa & Sambutan Hari Malaysia anjuran Jabatan Kimia Malaysia Negeri Sabah (KIMIA Sabah) bertempat di Kampung Mansiat, Sook, Keningau.
Program “Kimia ke Desa” anjuran Jabatan Kimia Malaysia (KIMIA Malaysia) merupakan salah satu daripada inisiatif Kementerian dalam meneruskan agenda merakyatkan sains, teknologi dan inovasi (STI). Program ini yang juga merupakan program jangkau luar (outreach) bagi membawa STI terus kepada masyarakat desa.
Berucap semasa majlis perasmian, YB Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, “Program KIMIA Ke Desa merupakan program jangkau luar (outreach) yang unik kerana ia membawa STI terus kepada masyarakat desa untuk memupuk minat mereka terhadap STI. Program ini juga merupakan inisiatif kementerian untuk membudayakan sains dalam masyarakat dan menukar pandangan orang ramai bahawa sains itu mudah, menarik dan merupakan sebahagian daripada kehidupan”.
Bagi memupuk minat masyarakat kampung kepada STI pelbagai aktiviti telah dirangka seperti pameran interaktif, science treasure hunt, kuiz sains dan ceramah santai berkaitan sains kimia dan perkhidmatan yang diberikan oleh KIMIA Sabah kepada komuniti kampung. Aktiviti ini juga diharap dapat memberikan kesedaran dan minat kepada murid dan pelajar sekolah Kampung Mansiat terhadap pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dan menjadikan STEM sebagai salah satu bidang keutamaan dan kerjaya di masa hadapan.
Bagi menjalinkan hubungan silaturahim antara KIMIA Sabah dengan masyarakat Kampung Mansiat, beberapa aktiviti kemasyarakatan telah dirangka, antaranya gotong royong dan sukan rakyat. Dengan adanya aktiviti kemasyarakatan ini diharapkan dapat menjadikan KIMIA Malaysia amnya dan KIMIA Sabah khususnya lebih dekat dengan komuniti. Kampung Mansiat dan beberapa kampung disekitarnya. Melalui program ini juga, KIMIA Sabah bercadang untuk menawarkan perkhidmatan analisis kualiti air secara one-off untuk projek Agromakanan iaitu projek tanaman hidroponik sayur daun, kolam ikan di Kampung Sinaron, Sook dan juga analisis kualiti air bagi sumber air GFS penduduk Kampung Mansiat.
Pada masa yang sama, sambutan Hari Malaysia turut diadakan bagi menyemarakkan semangat rakyat untuk sama-sama menghayati dan mencintai negara di samping memupuk dan menyemai semangat patriotisme dalam masyarakat dan menghargai jasa dan pergorbanan pemimpin terdahulu serta memupuk nilai-nilai seperti bersatu padu, bekerjasama dan bertoleransi antara masyarakat kampung khasnya dan negara amnya. Penganjuran sambutan di peringkat komuniti juga dapat menonjolkan bagaimana setiap komuniti daripada pelbagai latar belakang menyambut hari bersejarah negara. Tekad Perpaduan Penuhi Harapan.
Skip to content