Skip to main content
News

Program STEM Camp MOSTI 2026

30 Julai 2026, Kuching – Sains dan teknologi adalah milik semua, tanpa mengira latar belakang dan keupayaan. Aspirasi inilah yang menjadi teras pelaksanaan Program STEM Camp MOSTI 2026 yang berlangsung hari ini di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Kuching, Sarawak.
Penganjuran program ini menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), YBhg. Dato’ Ruziah binti Shafei. Turut sama dalam siri lawatan ini ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Instruksional, Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Puan Solehah binti Misron, serta Guru Besar SKPK Kuching, Puan Rosnah binti Jali, yang meluangkan masa meninjau stesen-stesen aktiviti dan berinteraksi bersama para peserta serta fasilitator.
Daripada penyerahan buku cerita ‘Pengembaraan Dunia Nuklear’ & pameran Braille menerusi slot Program Advokasi Nuklear, Planet VR & Modul Astronomi, Roket Pijak, Pencerapan Matahari hingga senamrobik, pelbagai aktiviti interaktif memberi peluang kepada 113 murid berkeperluan khas meneroka dunia sains dan teknologi secara praktikal (hands-on), kreatif dan menyeronokkan.
Penganjuran oleh PIBG SKPK Kuching dengan kerjasama strategik Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI MOSTI, Planetarium Negara, Pusat Sains Negara, Agensi Nuklear Malaysia, Bioeconomy Corporation dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ini amat penting bagi memastikan manfaat STI dapat dinikmati secara inklusif. Program ini terus menjadi platform untuk menyemai minat terhadap STEM dan membina keyakinan generasi muda untuk menjadi pencipta serta inovator masa hadapan.
Merakyatkan sains. Menginsankan teknologi. Mengarusperdanakan inovasi.
Skip to content