30 Julai 2026, Kuching – STEM bukan sekadar dipelajari, tetapi perlu dialami. Itulah semangat yang dibawa dalam Program Jangkauan Keterangkuman Malaysia Techlympics 2026 yang berlangsung hari ini di SK Lumba Kuda, Kuching, Sarawak.
Program ini telah diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), YBhg. Dato’ Ruziah binti Shafiei, yang turut mengadakan lawatan ke stesen-stesen aktiviti serta berinteraksi dengan para peserta dan fasilitator.
Daripada EZBOT, Butterfly Chromatography, Bengkel Simulasi Dron, Soccer Bot hingga CSI, pelbagai aktiviti interaktif memberi peluang kepada murid-murid meneroka dunia sains, teknologi dan inovasi secara praktikal (hands-on), kreatif dan menyeronokkan.
Usaha jangkauan seperti ini amat penting bagi memastikan manfaat STI dapat dinikmati secara inklusif, termasuk oleh komuniti di luar bandar dan kawasan yang kurang mendapat akses kepada program STEM. Malaysia Techlympics terus menjadi platform untuk mencungkil bakat, menyemai minat terhadap STEM dan membina keyakinan generasi muda untuk menjadi pencipta, inovator dan penyelesai masalah masa hadapan.
Merakyatkan sains. Menginsankan teknologi. Mengarusperdanakan inovasi.




