Skip to main content
News

Pusat Sains Sarawak atau Sarawak Science Centre Interactive Experience (SSCiEx) Kini Rasmi Dibuka!

29 Julai 2026, Kuching – Satu lagi mercu tanda penting dalam memperkasa pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) negara tercipta menerusi Majlis Perasmian Sarawak Science Centre Interactive Experience (SSCiEX) yang disempurnakan oleh YAB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak.
Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha MOSTI bersama barisan kepimpinan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh ekosistem STI negara.
Pembukaan SSCiEX menjadi satu lagi langkah penting dalam menyediakan platform pembelajaran STEM yang interaktif, inklusif dan berimpak tinggi bagi memupuk budaya inovasi serta menyemai minat terhadap sains dan teknologi dalam kalangan masyarakat.
Majlis ini turut membuka tirai Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2026 Zon Sarawak yang berlangsung pada 29 hingga 30 Julai 2026 di SSCiEX, Kuching. Pada hari pertama penganjuran, karnival ini berjaya menarik kehadiran seramai 1,158 pengunjung, terdiri daripada pelajar, guru, keluarga dan komuniti setempat.
Tahniah kepada Kerajaan Negeri Sarawak, MOSTI, rakan MySains serta semua pihak yang telah menjayakan pembukaan SSCiEX dan penganjuran Karnival MSN 2026 Zon Sarawak dalam usaha memperkasa pembudayaan STI demi melahirkan generasi yang kreatif, inovatif dan berdaya saing.
Ayuh semarakkan budaya sains, teknologi dan inovasi demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang!
Skip to content