Skip to main content
News

MOSTI Perkasa Komuniti Melalui Projek Akuaponik Berteknologi Solar Dan IoT Di Pasir Panjang

30 Julai 2026, Pasir Panjang – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek MyIS Komuniti di Mukim Rantau, Pasir Panjang, Negeri Sembilan.
Lawatan ini adalah salah satu usaha dan komitmen MOSTI dalam memperkasa komuniti melalui aplikasi Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menjana peluang ekonomi secara mampan.
Projek bertajuk Pembangunan Kelestarian Pertanian Tempatan Melalui Implementasi Sistem Akuaponik Bersepadu Menggunakan Tenaga Boleh Diperbaharui Solar dan Teknologi IoT Bagi Tanaman Terintegrasi merupakan inisiatif di bawah Program MyIS Komuniti yang dilaksanakan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM). Projek ini menggabungkan teknologi tenaga solar dan Internet of Things (IoT) bagi meningkatkan kecekapan sistem akuaponik serta produktiviti pertanian dan akuakultur.
Dalam ucapannya, YB Menteri memaklumkan bahawa sebanyak 67 projek inovasi sosial telah dibiayai di seluruh negara bagi tempoh 2021 hingga 2025, yang telah memberi manfaat secara langsung kepada lebih 6,700 penerima. Beliau turut menegaskan bahawa Program MyIS bukan sekadar menyalurkan teknologi, malah membangunkan pengetahuan dan kemahiran komuniti agar setiap projek dapat diuruskan secara lestari dan memberi impak jangka panjang.
Projek yang diketuai oleh Dr. Mohamad Farid Misnan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini turut melibatkan Persatuan Veteran Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (JLJD) Negeri Sembilan sebagai penerima manfaat. Inisiatif ini diharap menjadi model rujukan untuk diperluaskan ke lebih banyak komuniti di seluruh negara dalam memperkukuh keterjaminan makanan serta meningkatkan daya tahan ekonomi melalui teknologi.
Turut hadir YBrs. Encik Ooli Gunalan a/l Manickam, Setiausaha Bahagian Kanan Pengurusan, MOSTI; YBrs. Prof. Ts. Dr. Asmah Awal, Pengarah Neksus Penyelidikan UiTM (ReNeu), Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Teknologi MARA; YBrs. Dr. Sharmila Mohamed Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM); YBrs Prof. Madya Ir. Ts. Gs. Dr. Mohamad Farid Bin Misnan, Ketua Projek; pasukan penyelidik yang juga ahli projek; dan Ahli-ahli Persatuan Veteran Jurutera Letrik dan Jentera DiRaja Negeri Sembilan (JLJD).
Skip to content