Skip to main content
News

Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia Di Kampung Laut, Tumpat, Kelantan Tawar Ruang Percuma Untuk Komuniti Setempat Garap Idea Berasaskan Sains, Teknologi, Inovasi Dan Ekonomi

23 Julai 2022, Tumpat – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini telah melancarkan Program Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di Kampung Laut, Tumpat, Kelantan dalam usaha mempergiat aktiviti Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) di kawasan luar bandar.

Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di Kampung Laut ini adalah yang keenam dibangunkan oleh MOSTI melalui Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dengan sokongan Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Ia merupakan sebuah Hab Reka Cipta Sains, Teknologi dan Inovasi yang lengkap bagi menggarap idea kreatif dan inovatif dalam menangani isu-isu sosio-ekonomi serta komuniti setempat.

Program yang dirasmikan oleh YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ini merupakan usaha Kerajaan dalam membudayakan STIE bagi melahirkan masyarakat yang berpengetahuan, berkemahiran, kreatif dan inovatif melalui pendekatan Quintuple Helix iaitu gabungan antara Kerajaan, industri, akademia, masyarakat dan alam sekitar.

“Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di Kampung Laut ini menampilkan Sudut Inovasi yang memberi peluang kepada golongan B40 seperti ibu tunggal, belia dan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) menerima latihan dan seterusnya menjana pendapatan isi rumah melalui modul latihan daripada UMK,” kata beliau.

Tambahnya, “Dengan adanya Ruang Reka di Kampung Laut ini, masyarakat setempat berpeluang untuk berkumpul dan berinovasi dengan menggunakan teknologi sedia ada seperti pencetak 3D, robotik, dron dan lain-lain peralatan secara praktikal, sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan, produktiviti serta ekonomi komuniti setempat melalui olahan idea dan kreativiti yang dapat dipasarkan.”

Melalui hab ruang reka yang dibangunkan, MOSTI menyasarkan untuk mewujudkan satu ekosistem dalam ekonomi yang diterajui oleh sains, teknologi dan inovasi yang akan memudahkan pembangunan teknologi tempatan dengan mewujudkan peluang ekonomi dan melahirkan bakat atau tenaga kerja dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT) dan teknologi blockchain.

Ini secara tidak langsung dapat membantu memperkembangkan pembangunan ekonomi, peningkatan kualiti hidup serta kesejahteraan masyarakat dalam usaha mencapai status negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

Skip to content