Skip to main content
News

Sambutan Hari Malaysia 2026 Raikan Kepelbagaian, Kukuhkan Perpaduan

16 September 2026, Kuching – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan YB Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut hadir memeriahkan Sambutan Hari Malaysia 2026 yang berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak.

Sambutan yang penuh warna-warni ini disempurnakan menerusi simbolik perasmian dan upacara memotong pulut kuning oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, TYT Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, yang diiringi oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri; YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak dan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah.
Kemeriahan sambutan diserikan dengan persembahan “Segulai Sejalai”, teater muzikal “Malaysiaku MADANI, Kesejahteraan Dinikmati” serta “Serumpun MADANI” yang mengangkat kepelbagaian budaya dan warisan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Suasana turut dimeriahkan dengan sesi menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2026.
Sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah dan Stacy sebelum diakhiri pertunjukan bunga api di Kuching Waterfront. Pameran “Koridor Zaman Pembentukan Malaysia” di Plaza Merdeka pula mengetengahkan perjalanan pembentukan Malaysia melibatkan Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.
Sambutan ini mencerminkan semangat Malaysia MADANI yang menjadikan kepelbagaian sebagai kekuatan dalam membina masyarakat yang harmoni, saling menghormati dan sejahtera.
Ayuh raikan kepelbagaian, kukuhkan perpaduan dan terus melangkah bersama demi Malaysia MADANI.
Skip to content