20 November 2024, Putrajaya – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berhasrat agar pendekatan dan teknologi yang digunapakai menerusi Sistem Wireless Bridging (WBS) dapat dipertimbangkan secara serius dalam usaha kerajaan merealisasikan aspirasi 100% liputan kelajuan jalur lebar mudah alih menjelang tahun 2025. Pengaplikasian teknologi WBS diyakini memenuhi keperluan masyarakat setempat pada skala yang lebih kecil yang akan melengkapkan visi digitalisasi Malaysia.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang dalam ucapannya pada Sesi Perluasan Capaian Internet Melalui Sistem Wireless Bridging berkata, “Pemasangan sistem WBS yang pantas (kurang daripada 1 bulan) susulan kelulusan pihak berwajib dan proses perolehan yang berkaitan, jelas menunjukkan potensi pelaksanaan sistem ini bagi perluasan capaian internet di kawasan-kawasan yang lebih terpencil dalam usaha merapatkan jurang antara masyarakat bandar dan luar bandar seperti yang telah digariskan oleh elemen kesejahteraan yang menjadi salah satu teras Malaysia MADANI.”
Sistem Wireless Bridging merupakan teknologi penyambungan internet bagi memudahkan komuniti yang ketinggalan (unserved) dan terbatas (underserved) terutamanya bagi aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdPR) dan aktiviti e-keusahawanan. WBS merupakan penyelesaian yang melengkapi usaha Kerajaan untuk mengurangkan jurang digital di kawasan luar bandar melalui teknologi yang mampu meluaskan capaian internet dari sumber yang sedia ada.
Dengan kos sebanyak RM300,000 yang merangkumi langganan internet satelit berkelajuan tinggi selama tiga (3) tahun dan pemasangan sistem WBS bagi perluasan capaian internet yang memanfaatkan 158 pelajar, 15 guru serta 480 penduduk di kawasan sekitar, peruntukan yang diperlukan adalah sangat berpatutan jika dibandingkan dengan potensi pulangan nilai (return of value) hasil peningkatan kualiti pembelajaran serta pemudahcaraan aktiviti e-keusahawanan
WBS mendapat sokongan pasukan teknikal daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diketuai oleh Profesor Madya Dr Ramlee Kamarudin serta SabahNet di bawah penyelarasan Encik Mohamad Sukry Suile. Inisiatif ini juga mendapat kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).