Skip to main content
News

Siri Jelajah ‘MYStartup Roadshow’ Di Sarawak

24 Jun 2022, Sarawak – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba hari ini telah melancarkan edisi keempat siri jelajah ‘MYStartup Roadshow’ di Kuching, Sarawak.

Siri jelajah ‘MYStartup Roadshow’ ini dianjurkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi agensi di bawahnya, Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) bagi meneruskan kesinambungan momentum dan usaha mewujudkan sebuah ekosistem start-up yang terangkum dan kondusif.

Kuching merupakan hentian pertama di luar Semenanjung Malaysia dan yang keempat dalam siri jelajah MYStartup selepas Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang. Jelajah ini adalah sebahagian daripada usaha bagi memastikan komuniti start-up di Sarawak turut sama terlibat dan mendapat manfaat daripada program-program pemerkasaan start-up melalui Program MYStartup.

Pada majlis perasmian MYStartup East-Malaysia Region Roadshow Sarawak, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba berkata, “MOSTI dan Cradle sangat berbesar hati kerana mendapat sokongan padu dan kerjasama daripada rakan-rakan komuniti setempat. Antaranya termasuklah TEGAS Digital Village, Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), iCube Innovation dan Sarawak Media Group (SMG) serta lain-lain yang berganding bahu dalam memajukan pergerakan dan perkembangan komuniti start-up di negeri ini.

Pada majlis yang sama, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba telah mengumumkan sebuah inisiatif daripada Cradle dan Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) yang menyediakan pembiayaan dari peringkat awal ke peringkat seterusnya yang dinamakan Program Pembiayaan Start-ups Agensi MOSTI. Menerusinya, kesemua pilihan pembiayaan sedia ada daripada Cradle dan MDV akan diadaptasi menjadi satu corong pembiayaan (funding funnel) kepada start-up. Justeru, sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Cradle dan MDV telah termeterai sebagai langkah awal bagi mengurangkan jurang kegagalan atau the valley of death yang dihadapi kebanyakan start-up di Malaysia.

Majlis yang sama turut menyaksikan pertukaran MoU di antara MOSTI menerusi Cradle dan Syarikat GK Aqua Sdn. Bhd. (GK Aqua) berkaitan penyediaan latihan kepada peserta di bawah program ‘Upskilling For Deeptech And Futureskills’ kendalian Cradle. Melalui usaha sama ini, GK Aqua akan menjadi penyedia latihan rasmi untuk membentuk dan meningkatkan tenaga kerja mahir dalam bidang biosains bermula Julai 2022.

Bagi meneruskan kesinambungan dan kemampanan program MYStartup yang dijalankan di negeri Sarawak pihak Cradle turut memeterai sebuah MoU dengan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) yang bakal menyaksikan pihak TEGAS menjadi pelaksana aktiviti-aktiviti di bawah program MYStartup di negeri ini. Selain itu, pihak Cradle juga akan menyokong program-program pembangunan ekosistem start-up anjuran TEGAS di negeri Sarawak.

Maklumat lanjut mengenai ekosistem start-up Malaysia, programprogram yang bakal dianjurkan Cradle dan juga maklumat berkenaan hentian siri jelajah ‘MYStartup Roadshow’, start-up, pelabur, pemain industri dan pembina ekosistem sila layari dan mendaftar di platform MYStartup di www.mystartup.gov.my.

Skip to content