Skip to main content
News

TAPAK AKUAPONIK BERTEKNOLOGI NANO- FLORAPONIC FARM MALAYSIA @ MANONG

19 Mac 2023, Perak – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi YB Tuan Chang Lih Kang hari ini merasmikan Floraponic Farm Malaysia @ Manong (FFM @ Manong) sebuah tapak akuaponik berasaskan teknologi nano berskala besar di Manong, Perak. Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI dan juga Pengurusan Tertinggi MOSTI.

FFM @ Manong merupakan sebuah projek kerjasama akuaponik berskala besar antara NanoMalaysia Berhad (NMB), sebuah agensi di bawah MOSTI, bersama Flora Niaga Sdn Bhd (FMSS) yang telah bermula sejak tahun 2022. Projek ini merupakan salah satu inisiatif MOSTI dan NanoMalaysia untuk memastikan pemerkasaan jaminan makanan di Malaysia.
Projek ini diterajui oleh NMB di bawah program REVOLUTIoNT yang memberi tumpuan kepada nanoteknologi dan pembangunan produk serta penggunaan Internet Pelbagai Benda Nano (IoNT) untuk meningkatkan penyelesaian teknologi bagi pelbagai penggunaan, termasuk dalam industri makanan dan pertanian selaras dengan Dasar dan Strategi Nanoteknologi Negara (DSNN) 2021 – 2030, Pelan Halatuju Teknologi & Produk Nano Negara 2021 – 2025 dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan 2021-2025.
Menerusi REVOLUTIoNT, NanoMalaysia berhasrat untuk membangunkan ekosistem inovatif yang dapat membantu menyusun rantaian bekalan makanan supaya lebih berdaya tahan, mampan serta dapat mendepani isu keterjaminan makanan. Ia juga selari dengan kerangka dasar Malaysia MADANI terutama sekali tonggak Kemampanan, Kesejateraan dan Daya Cipta untuk mengukuhkan keperluan ekonomi, kemasyarakatan, bandar dan luar bandar negara.
FFM@Manong menggunakan kombinasi akuakultur dan pertanian yang bersepadu dengan nanoteknologi. Objektif projek ini adalah untuk menghasilkan sumber makanan dengan penggunaan Panel Tenaga Suria Nano sebagai komponen penjanaan tenaga bagi mengurangkan kos operasi sekali gus memberikan lebih fleksibiliti untuk beroperasi di kawasan terpencil.
Projek ini meliputi komponen kolam ikan dan sistem hasil pertanian (seperti sayur-sayuran). Antara ternakan dan sayur-sayuran yang dihasilkan oleh projek ini adalah baby pak choy, daun salad dan ikan tilapia. FFM @ Manong dikendalikan oleh Flora Niaga Sdn Bhd menggunakan tanah seluas 2.5 ekar, dengan kawasan pertanian menegak pada kapasiti sehingga 3 tan sebulan dan kawasan akuakultur pada kapasiti 6,000 ekor ikan untuk setiap kitaran pembiakan.
DSC 7918   DSC 7812DSC 7824   DSC 7875
Skip to content