Skip to main content
News

MOSTI TUMPU INOVASI SOSIAL MANTAPKAN EKOSISTEM STIE DI MALAYSIA

19 Mac 2023, Perak – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini melancarkan program Ruang Daya Cipta (RDC) Manong di Perak sebagai usaha untuk memantapkan lagi aktiviti Sains, Teknologi, Inovasi dan Eknomi (STIE) di kalangan komuniti luar bandar.
Program RDC yang dibangunkan oleh MOSTI melalui Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) ini menggabungkan elemen automasi dan pembengkelan seperti bengkel mesin, bengkel kraftangan (seni & kraftangan), peralatan mini studio dan sudut inovasi pemikiran daya cipta yang boleh digunakan secara percuma oleh orang awam, pelajar, ahli akademik, syarikat pemula, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di kawasan sekitarnya.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Chang Lih Kang, “Tujuan utama program RDC itu adalah untuk menyediakan ruang dan kemudahan latihan kepada komuniti di sekitar Manong untuk menjalankan aktiviti inovasi dan daya cipta selaras dengan aspirasi Malaysia Madani untuk membawa rakyat membudayakan STIE”.
“Pembangunan RDC ini adalah program jangkauan luar MOSTI dalam usaha untuk memenuhi keperluan golongan B40, golongan terpinggir yang kurang mendapat akses teknologi dan golongan M40 yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Ia memberi kemudahan kepada golongan ini untuk bersedia menghadapi era pendigitalan dan pada masa yang sama mengatasi isu dan cabaran yang dihadapi oleh komuniti”, ujar beliau.
RDC turut melibatkan rakan strategik dan kerjasama YIM dalam menyediakan pelbagai latihan dan pembangunan kapasiti kepada komuniti di sekitarnya yang mana komuniti boleh berkumpul di dalam suasana pembelajaran yang tidak formal seterusnya membangunkan inovasi produk mereka bagi mengatasi isu dan cabaran di komuniti.
Setakat ini, MOSTI telah membangunkan 10 buah RDC yang dulu dikenali sebagai Ruang Reka Cipta. Lokasinya di Sabak Bernam, Selangor; Sandakan, Sabah; Langkawi, Kedah; Tumpat, Kelantan; Kuala Terengganu, Terengganu; Bera, Pahang; PKD Layang-layang dan Kota Tinggi, Johor; serta yang terkini di Manong, Perak serta Miri, Sarawak. Dua (2) lagi RDC dijangka akan dibangunkan di Melaka dan Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

DSC 7761   DSC 7705

DSC 7731   DSC 7780

Skip to content