6 Ogos 2026, Kampar – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meneruskan MOSTI TECHTalks Siri 3/2026 bertemakan Malaysia’s Semiconductor Industry: Trends and Opportunities di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampar, Perak.
Program ini menampilkan YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bersama Encik Tan Soon Keong, Pengarah Kanan Infineon Technologies Kulim sebagai panel jemputan.
Dalam sesi perkongsian, YB Menteri menjelaskan komitmen MOSTI dalam memperkasa Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS), termasuk usaha melahirkan 10,000 bakat tempatan dalam bidang reka bentuk litar bersepadu (IC Design) menerusi kerjasama MIMOS dan ARM. Inisiatif ini menyokong sasaran penjanaan lebih 130,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di bawah NIMP 2030.
Sementara itu, Encik Tan Soon Keong berkongsi perkembangan industri semikonduktor global yang dijangka mencecah nilai USD1.29 trilion menjelang 2030. Beliau turut menekankan potensi Malaysia untuk terus menjadi peneraju inovasi melalui pembangunan bakat serta kerjasama erat antara kerajaan, industri dan akademia.
Program yang dihadiri lebih 250 pelajar, pensyarah dan kakitangan UTAR itu menjadi platform perkongsian ilmu bagi memperkukuh pembangunan bakat STI serta mengeratkan kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi pengajian tinggi selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.




