Skip to main content
News

Majlis Pelancaran Malaysia Festival of the Mind ke-20

6 Ogos 2026, Kampar – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Malaysia Festival of the Mind Ke-20, anjuran Malaysia Mental Literacy Movement (MMLM) dengan kerjasama Kuala Lumpur Engineering Science Fair (KLESF), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) di Kampar, Perak.

Bertemakan “Innovate the Mind, Empower the Future”, festival ini menjadi platform penting dalam memperkukuh budaya berfikir, memupuk inovasi dan membangunkan modal insan yang bersedia menghadapi masa depan.

Dalam ucapannya, YB Menteri menegaskan bahawa kemajuan sesebuah negara bukan sahaja bergantung kepada kecanggihan teknologi atau kecerdasan buatan (AI), tetapi yang lebih penting ialah keupayaan rakyat untuk berfikir, belajar, menyesuaikan diri dan mencipta penyelesaian baharu. Teknologi merupakan pemangkin perubahan, namun minda manusialah yang menentukan hala tuju perubahan tersebut.
Seiring perkembangan pesat AI, beliau turut menekankan bahawa literasi AI perlu diseimbangkan dengan literasi minda agar masyarakat mampu menilai maklumat secara kritis, membuat pertimbangan yang beretika serta memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab. AI bukan untuk menggantikan pemikiran manusia, sebaliknya memperkukuhkan keupayaan manusia untuk berfikir dengan lebih baik.
Malaysia Festival of the Mind turut memainkan peranan penting dalam menyemai minat terhadap STEM serta menggalakkan generasi muda untuk berani bertanya, bereksperimen, berinovasi dan mencipta penyelesaian kepada cabaran masa hadapan.
MOSTI kekal komited memperkukuh ekosistem STI negara melalui pembangunan bakat, penyelidikan, inovasi dan pembudayaan sains dengan kerjasama pelbagai pihak, sekali gus melahirkan lebih ramai saintis, jurutera, penyelidik, usahawan teknologi dan inovator tempatan yang mampu bersaing di peringkat global.
Skip to content