Skip to main content
Information Sharing

GovRS-Apps: Sistem Aplikasi Remote Sensing Pelbagai Sektor

GovRS AppsSemenjak tahun 2008, Agensi Angkasa Malaysia – MYSA dengan kerjasama strategik pelbagai agensi kerajaan telah membangun dan mengoperasikan Sistem Aplikasi Remote Sensing Pelbagai Sektor (GovRS-Apps) dan pangkalan data bersepadu untuk diguna pakai secara online oleh agensi-agensi kerajaan. Pembangunan dan pengoperasian GovRS-Apps adalah selaras dengan objektif penubuhan MYSA sebagai agensi penyelidikan dan pembangunan sektor angkasa dan pusat sehenti bagi sains, teknologi dan aplikasi angkasa. Pelaksanaan ini juga selaras dengan keputusan Mesyuarat Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2012 supaya semua agensi kerajaan mengguna pakai sistem aplikasi remote sensing dalam mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

GovRS-Apps adalah platform utama yang komprehensif dan bersepadu bagi sistem-sistem aplikasi pelbagai sektor/bidang berteraskan teknologi remote sensing, Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan ICT. Sistem ini mengandungi imej satelit remote sensing dan maklumat geospatial pelbagai sektor/bidang seperti pertanian dan perikanan, sumber asli dan alam sekitar, bencana, kesihatan persekitaran, pembangunan tanah, penilaian dan pengurusan hartanah, pengauditan alam sekitar dan pembangunan fizikal, keselamatan dan pertahanan negara.

GovRS-Apps dibangunkan melalui kepakaran dalaman MYSA dan agensi kerajaan yang berkaitan dalam bidang masing-masing. Sehingga kini, MYSA telah membangunkan 40 sistem aplikasi strategik di bawah GovRS-Apps yang telah dimanfaatkan oleh lebih 70 agensi kerajaan.

#mosti #stie #vaksin #teknologiangkasa