Skip to main content
News

Majlis Penutup InnoEX

9 September 2023, Selangor – YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini mewakili YAB Perdana Menteri di Majlis Penutup InnoEX anjuran Cyberview. InnoEx merupakan ekspo innovasi yang mengumpulkan pemain-pemain teknologi yang bertapak di Cyberjaya. InnoEx telah berlangsung selama empat hari bermula dari 6 hingga 9 September 2023.
Dalam ucapan YAB Perdana Menteri yang dibacakan oleh YB Chang Lih Kang mengatakan “Seperti mana yang digariskan dalam kerangka Ekonomi Madani, kerajaan akan terus menyokong usaha penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan syarikat tempatan dan syarikat pemula, untuk mendorong mereka mencapai kejayaan lebih besar dan meraih pengiktirafan antarabangsa”
Kerajaan tambahnya, akan memudahcara industri untuk membawa masuk pelaburan dan menyokong penggunaan teknologi melalui automasi kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin, bagi meningkatkan produktiviti dan menyokong pembangunan bakat tempatan.
YB Chang Lih Kang turut berkesempatan untuk meninjau pelbagai teknologi dan innovasi terkini seperti robotik, metaverse dan kecerdasan buatan yang dibangunkan oleh anak-anak tempatan terdiri dari syarikat-syarikat kecil sederhana dan syarikat pemula. Selain itu, InnoEx turut mendapat penyertaan syarikat-syarikat besar tempatan dan juga syarikat antarabangsa.
Sebagai Pemaju Hab Teknologi, Cyberview mendukung mandat untuk membangunkan Cyberjaya sebagai Hab Teknologi Global. Pelbagai pelaburan teknologi tinggi memilih Cyberjaya mutakhir ini termasuklah, Microsoft, EdgeConneX dan juga Tesla.
MOSTI percaya dalam masa terdekat, pelbagai pelaburan teknologi akan diputuskan, dan ini sejajar dengan kedudukan Cyberjaya sebagai lokasi pilihan pelaburan teknologi, dengan anggaran jumlah pelaburan sebanyak RM35bil untuk tempoh 5 ke 10 tahun akan datang.
Pembangunan inovasi yang semakin rancak di Cyberjaya ini tentunya seiring dengan kerangka Malaysia MADANI dan MOSTI akan sentiasa menyokong usaha-usaha ke arah memperkasakan Sains, Teknologi dan Inovasi.
Hadir sama YBhg. Dato’ Romli bin Ishak, Pengerusi Cyberview dan YBhg. Datuk Ts. Dr. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI.
Skip to content