2 November 2026, Putrajaya – Unit Integriti, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menganjurkan Sesi Taklimat Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Bersama Warga Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebagai usaha berterusan memperkukuh pembudayaan integriti, disiplin dan akauntabiliti dalam kalangan warga kementerian.
Sesi taklimat ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan penghayatan terhadap nilai-nilai integriti serta tanggungjawab sebagai penjawat awam, memperkukuh pematuhan kepada peraturan perkhidmatan awam dan menghindari sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan imej serta reputasi kementerian. Inisiatif ini turut memberi penekanan kepada usaha mewujudkan persekitaran kerja yang sihat, selamat dan berintegriti.
Turut hadir menjayakan sesi ini ialah Bahagian Penguatkuasaan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang telah berkongsi maklumat dan pendedahan berkaitan isu penyalahgunaan dadah, termasuk implikasi serta kesannya terhadap individu, organisasi dan perkhidmatan awam.
MOSTI sentiasa komited untuk membanteras gejala negatif, khususnya penyalahgunaan dadah, melalui peningkatan kesedaran, pencegahan dan pemantauan secara berterusan. Usaha ini penting bagi memastikan warga kementerian sentiasa mengamalkan nilai integriti, mengutamakan disiplin serta melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan penuh profesionalisme.
Integriti Diperkasa, Disiplin Dijunjung, Perkhidmatan Awam Dipercayai.




