14 Mei 2026, Bukit Jalil – YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah menghadiri dan memberi ucapan pembukaan di Forum “The Commercialisation Blueprint: From Intelligence to Impact” yang diadakan di MRANTI Park, Bukit Jalil.
Program ini merupakan sebuah forum strategik dengan objektif utama untuk merapatkan jurang antara piawaian inovasi kebangsaan dengan tanda aras prestasi global yang menyasarkan kehadiran Agensi Kerajaan, Pejabat Pemindahan Teknologi (TTO) Universiti Tempatan dan Syarikat Teknologi Tempatan. Dengan menghubungkan kerangka kerja Research and Development (R&D) domestik, program ini merupakan inisiatif strategik untuk menyokong aspirasi negara dalam mempercepatkan transformasi harta intelek daripada idea/inovasi/R&D kepada aset komersial yang berimpak tinggi yang menyumbang kepada ekonomi.
Selain itu, program yang digerakkan secara kolaboratif oleh MRANTI dan Clarivate sebagai rakan strategik merupakan inisiatif dalam mempercepatkan peralihan Malaysia daripada pengguna kepada pengeluar teknologi bernilai tinggi dengan menyelaraskan strategi penyelidikan tempatan dengan amalan terbaik antarabangsa serta pandangan jauh berasaskan data ( 𝑑𝑎𝑡𝑎-𝑑𝑟𝑖𝑣𝑒𝑛 𝑓𝑜𝑟𝑒𝑠𝑖𝑔ℎ𝑡 ) dan misi (mission oriented).
Program turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Dr. Rofina Yasmin binti Othman, Pengerusi MRANTI, YBrs. Encik Ashran bin Dato’ Ghazi, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Mr. Nicholas Mason, Pengarah Kanan Strategi Komersial IP Serantau (ANZSEA) Clarivate, Mr. Nick Solomon, Pengarah United Technology (M) Sdn. Bhd serta peserta dari universiti dan syarikat teknologi tempatan.




