Inisiatif ini menumpukan kepada lima bidang strategik iaitu penuaan sihat, keterjaminan makanan, industri sawit, ekonomi altitud rendah dan mobiliti autonomi. Melalui sesi ini, Execution Pods dibentuk untuk menggerakkan projek rintis terpilih dalam tempoh enam hingga 12 bulan bagi menguji kebolehlaksanaan operasi, daya maju kewangan dan impak sosial sebelum dikomersialkan secara meluas.
Sebagai langkah awal, MRIC Healthcare Sdn Bhd dikenal pasti sebagai rakan peneraju misi penuaan sihat dengan memeterai kerjasama strategik bersama empat rakan kongsi utama Academy of Medicine of Malaysia, ACT4Health Senior Clinic, Sena Healthcare dan MSU yang merangkumi saringan kesihatan komuniti, latihan penjaga serta aplikasi kecerdasan buatan (AI) perubatan.
Pada masa sama, penganjuran Global Sandbox Forum (GSF) yang berpandukan kejayaan National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) turut memperkukuh jaringan antarabangsa bagi mempercepatkan pengujian, pengesahan dan pengkomersialan teknologi tempatan ke peringkat rentas sempadan.




