Skip to main content
News

Karnival Minggu Sains Negara

23 Ogos 2024, Pulau Pinang – Penganjuran Karnival Minggu Sains Negara diteruskan pada tahun ini dengan penganjuran STEM SHOWCASE 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang Sempena Minggu Sains Negara (MSN) yang merupakan karnival kedua di peringkat negeri bagi tahun 2024 setelah pelaksanaannya di Negeri Kelantan.

Pelaksanaan Minggu Sains Negara pada tahun 2024 merupakan tahun yang ke-7 sejak dilancarkan pada tahun 2018. Ianya adalah komitmen MOSTI dalam membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kehidupan rakyat Malaysia secara konsisten dan berterusan.
Menurut YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, antara tujuan utama pelaksanaan Karnival Minggu Sains Negara untuk meraikan kepelbagaian pengisian STI di setiap negeri dan juga memberi peluang kepada penggerak dan pengamal STI tempatan untuk mengetengahkan idea, teknologi dan inovasi mengikut keperluan masyarakat setempat.
Bagi pelaksanaan di Negeri Pulau Pinang, Karnival Minggu Sains Negara telah digarapkan sebagai STEM SHOWCASE 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang sempena Minggu Sains Negara.
MOSTI komited untuk menggembeling tenaga dan usaha bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam membudayakan STI melalui program-program pembudayaan STI di luar bilik darjah yang berterusan kepada golongan sasaran yang terlibat khususnya kanak-kanak dan pelajar di peringkat bangku sekolah melalui program Minggu Sains Negara dalam memperkasakan agenda STEM Negara.
Bersempena Karnival Minggu Sains Negara 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung selama dua (2) hari ini, MOSTI bersama Kerajaan Negeri menyasarkan penglibatan dan kehadiran lebih daripada 10,000 orang pengunjung. Program ini turut dihadiri oleh YB Tuan Jagdeep Singh Deo, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang dan YBhg. Dato’ Dr. Ts. Haji Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI.
Layari minggusainsnegara.mosti.gov.my untuk maklumat lanjut mengenai Minggu Sains Negara 2024.
Skip to content