Skip to main content
News

Kembara STIE MOSTI Perkasa Bidang Sains, Teknologi dan Inovasi

Kota Kinabalu, 10 September 2020 – MOSTI hari ini meneruskan program Kembara Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) di Sabah bermula 10 hingga 11 September 2020 dalam usaha memartabatkan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) tempatan serta menyokong perjalanan dan visi ke arah negara berteknologi tinggi.
Usaha Kerajaan ini juga adalah bagi memperkasa STI serta menggalakkan pelajar untuk lebih meminati bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), dengan mendedahkan mereka kepada pelbagai pengalaman pembelajaran yang interaktif dan imersif melalui pameran, bengkel, forum, pertandingan dan persembahan, di samping menggalakkan penyertaan lebih ramai usahawan tempatan berasaskan teknologi. YB Khairy Jamaluddin, turut menghadiri Kembara STIE yang diadakan di

Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini.
Kembara STIE Sabah ini adalah kesinambungan daripada siri Kembara STIE MOSTI yang sedang dilaksanakan di seluruh negara bermula dengan Zon Tengah yang dianjurkan kali pertama pada siri tahun ini di Rembau pada 5 September 2020. Di UMS, YB Khairy diberi taklimat mengenai salah satu projek International Collaboration Fund (ICF) yang mendapat sumbangan dana berjumlah RM230,500.00 daripada MOSTI untuk membangunkan Teknologi Pengesan Emosi Realiti Maya atau Virtual Reality Emotion Detection (VRED). Fakulti Komputeran dan Informatik UMS telah diberi tanggungjawab untuk membangunkan projek ini iaitu menghasilkan sistem pengkomputeran imersif yang berkesan melalui pemboleh pakai electroencephalography (EEG) iaitu penjejakan mata dan pengesan inertia.
MOSTI turut mengadakan konsultasi Pembiayaan dan Perkhidmatan STIE kepada komuniti di UMS serta sekitar Kota Kinabalu mengenai inisiatif-inisiatif MOSTI seperti National Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS) yang memberi kemudahan untuk pengujian produk, perkhidmatan, model perniagaan dan mekanisme penyampaian dalam persekitaran sebenar bagi membangunkan teknologi dan produk penyelidikan boleh diguna pakai secara segera.
Selain itu, penerangan turut diberikan mengenai Geran Padanan Impak Sosial (SIM) yang bertujuan menyokong para perusahaan sosial tempatan dan perusahaan impak sosial dalam mengumpul dana, meningkatkan kesedaran umum tentang inovasi sosial serta mengketengahkan solusi perusahaan sosial demi kepentingan masyarakat serta alam sekitar. Turut hadir ialah YBhg. Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah binti Tapsir, Ketua Setiausaha MOSTI dan YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMS.